Isu harga lantai, pelesenan industri kurier diteliti - Fahmi

Fahmi berucap ketika merasmikan program 'Courier Industry Appreciation Day' di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
Fahmi berucap ketika merasmikan program 'Courier Industry Appreciation Day' di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Isu harga lantai dan pelesenan industri kurier perlu diteliti untuk memastikan sektor itu kompetitif serta tidak memberi kesan kepada ekosistemnya termasuk pendapatan pekerja dan membebankan pengguna, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata, beliau berhasrat mengadakan pertemuan dengan Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC) dan ketua pegawai eksekutif syarikat kurier bagi mendapatkan pandangan supaya dapatan itu dapat dikumpul untuk dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan 2024.

"Saya minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) teliti bukan hanya permintaan beberapa pihak tetapi kaji kesan kepada ekosistem kepada pendapatan pekerja serta aspek lain.

"Pada waktu ini isu kos sara hidup menekan, jadi apapun keputusan dibuat mengambil kira kemampanan bagi industri dan tidak membebankan pengguna. Ia mesti seiring dengan satu penyelarasan dalam pengendalian industri," katanya selepas perasmian Hari Apresiasi Industri Kurier di sini hari ini.

Fahmi berkata, beberapa aspek berkaitan industri kurier perlu diteliti bersama agensi lain termasuk Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) termasuk berkaitan automasi, pengendalian data secara selamat dan cermat, serta isu 'price dumping' yang memberi persaingan dalam industri.

Beliau berkata industri kurier itu penting kerana ia memberi peluang pekerjaan kepada lebih 160,000 orang, selain 100,000 pekerja terlibat dalam perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan menggunakan motosikal (p-hailing).

"Oleh itu sebarang dasar dibuat perlu mengambil kira tenaga kerja yang besar," katanya.

Fahmi berkata, dengan jumlah lesen industri kurier yang agak besar, MCMC juga diminta supaya meneliti dari segi kelulusan bagi pemohon lesen untuk aspek kawal selia yang lebih baik.

Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi berkata, kerajaan melalui MCMC telah memulakan Pelan Accelerator Kurier Negara (Pakej) pada 2021 untuk menyokong pertumbuhan industri pos dan kurier ke arah mencapai 30 bungkusan per kapita menjelang 2025.

Inisiatif Pakej bertujuan menyediakan perkhidmatan kurier kelas pertama kepada Malaysia melalui empat asas iaitu kebolehpercayaan dari segi kualiti perkhidmatan, mencapai liputan yang lancar, relevan melalui pertumbuhan industri dan daya tahan melalui kemampanan.

"Inisiatif ini diharap dapat melonjakkan lagi industri kurier untuk berkembang daripada kekuatan ke kekuatan sebagai jentera utama dalam memastikan kejayaan e-dagang dan ekonomi digital di Malaysia,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!