PR1MA Residensi Seri Mahkota siap dibina

Residensi Seri Mahkota (Sungai Ular), di sini, siap dibina baru-baru.
Residensi Seri Mahkota (Sungai Ular), di sini, siap dibina baru-baru.
A
A
A

KULIM - Projek perumahan dibangunkan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di Kedah iaitu Residensi Seri Mahkota (Sungai Ular), di sini, siap dibina baru-baru ini, manakala dua lagi projek dijangka siap menjelang tahun 2024.

PR1MA dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang menggiatkan usaha untuk menyiapkan projek-projeknya di Kedah.

Menurutnya, PR1MA berjaya menyiapkan Residensi Seri Mahkota (Sungai Ular) dan dua lagi projek PR1MA iaitu Projek Residensi Junjong dan Projek Residensi Simpang Empat 2 dijangka siap menjelang tahun 2024.

"Ia adalah hasil usaha kerjasama PR1MA dan Taskforce Projek Sakit di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pihak berkepentingan lain.

"Projek Residensi Seri Mahkota dibina kontraktor lantikan PR1MA, Bina Maju Sdn Bhd telah memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 15 Mac 2023 lepas bagi unit rumah serta menerima CCC bagi kemudahan dewan baru-baru ini," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

PR1MA berkata, pihak kontraktor sedang giat menjalankan kerja-kerja pembaikan kecacatan kritikal sebelum penyerahan kunci kepada pembeli yang dijangka pada bulan September ini.

"Bagi Projek Residensi Junjong, kontraktor penyelamat iaitu Bumita Sdn Bhd dilantik untuk menyiapkan projek ini menggantikan kontraktor asal dengan kerja-kerja di tapak tertumpu kepada menyiapkan baki kerja.

"Antaranya, kerja membaik pulih dan kerja pembinaan seperti kemudahan awam, lot kedai dan pos pengawal," katanya.

PR1MA berkata, kerja pembinaan infrastruktur termasuk jalan (dalaman dan luaran), bahu jalan, retikulasi air dan pagar juga sedang dijalankan dengan kapasiti pekerja keseluruhan 200 pekerja untuk menyiapkan kerja-kerja pembinaan.

Tambahnya, sebagai nilai tambah untuk projek Residensi Junjong, PR1MA juga menjalankan inisiatif “Rectify and Pacify” seperti kerja-kerja penambahbaikan landskap dan sedang mengenal pasti potensi skop kerja boleh ditambah baik.

"Ia bagi memastikan projek ini disiapkan dengan piawaian kualiti tinggi sebelum penyerahan kunci kepada pembeli dilakukan," katanya lagi.

Menurut kenyataan itu, PR1MA juga memberikan laporan kemas kini secara bulanan kepada semua pembeli agar mereka sentiasa mendapat maklumat terkini berkaitan projek ini.

"Bagi Projek Residensi Simpang Empat 2, PR1MA kini dalam proses memperhalusi serta memuktamadkan pelan mitigasi dan strategi bagi penyiapan projek ini melalui proses lantikan kontraktor penyelamat bagi mengganti kontraktor asal yang tidak dapat menyiapkan projek ini mengikut waktu ditetapkan," katanya.

Menurut PR1MA, pihaknya telah mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan isu pengambilan tanah bagi jalan masuk utama tidak diselesaikan kontraktor asal hingga menyumbang kepada kelewatan projek ini.

"Setakat ini, PR1MA telah menerima kelulusan pengambilan tanah di bawah Seksyen 8 daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan telah diwartakan pada 8 Jun 2023.

"Kini, PR1MA juga dalam proses mendapatkan penilaian akhir tanah daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) yang dijangka selesai pada akhir Julai 2023 sebelum kerja pembinaan jalan dapat dilakukan," katanya.

PR1MA memaklumkan pihaknya tetap komited dan proaktif dalam memastikan isu pengambilan tanah diselesaikan dan penyiapan jalan dilaksanakan secepat mungkin.

"Seramai 499 pembeli Residensi Junjong dan 190 pembeli Residensi Simpang Empat 2 juga telah menerima pembayaran awal Sebahagian Gantirugi Tertentu dan Ditetapkan (PLAD) bagi mengurangkan beban kewangan akibat kelewatan penyiapan projek," katanya.

PR1MA yakin projek-projek ini akan dapat disiapkan selewat-lewatnya pada suku keempat 2023 dengan kepercayaan dan sokongan daripada KPKT, kerajaan negeri, PBT, agensi teknikal berkaitan serta pembeli.

"Setakat Jun 2023, PR1MA telah pun menyiapkan sebanyak sembilan daripada 20 projek sakit di seluruh negara dan kesemua baki projek sakit di bawah PR1MA dijangka akan dapat disiapkan menjelang akhir tahun hadapan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!