PRN Selangor: Majlis Presiden BN tentu keputusan MCA bertanding
SHAH ALAM - UMNO Selangor menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Presiden Barisan Nasional (BN) berhubung tuntutan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ingin ditandingi MCA pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Timbalan Ketua UMNO Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, ia terpulang kepada Majlis Presiden BN untuk membuat keputusan.
"Biar Majlis Presiden (BN) bincangkan perkara itu, saya tidak tahu dan tak mahu komen apa-apa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, MCA Selangor memohon lima kerusi DUN yang menjadi tradisi parti itu untuk bertanding pada PRN Selangor.
Pengerusinya, Datuk Ng Chok Sin bagaimanapun berkata, sehingga kini pihaknya masih belum mendapat sebarang jawapan mengenai jumlah kerusi yang akan diagihkan kepada parti tersebut.
Mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung perbincangan agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan BN selesai, Johan berkata, UMNO masih perlu membincangkan beberapa perkara.
Katanya, parti itu akan mengadakan satu mesyuarat di Bangunan Kumpulan Muara pada petang Selasa.
"Ada lagi yang hendak kita bincangkan tetapi tidak tahulah apa keputusannya," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!