JPN perlu perkenal kad pengenalan baharu ciri terkini

Jais
Jais
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta menambah baik sistem dan teknologi seperti memperkenalkan kad pengenalan baharu dengan ciri keselamatan terkini bagi menangani masalah rasuah dan salah guna kuasa di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, saranan tersebut antara inisiatif bagi menangani masalah berkenaan di jabatan itu kerana kad pengenalan sedia ada telah digunakan hampir 15 tahun dan mudah diceroboh.

“Sistem pengurusan data yang cekap dan terkini perlu dipertingkatkan untuk mengurangkan peluang penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, kerajaan perlu meningkatkan kesedaran selain memberikan latihan etika kepada kakitangan jabatan itu mengenai tanggungjawab mereka sebagai penjawat awam dan kepentingan berintegriti melalui kursus, bengkel serta program pembangunan profesional.

“Sistem pengurusan yang kukuh dan prosedur ketelusan jelas perlu dikuatkuasakan termasuk pemeriksaan dalaman, audit serta penilaian prestasi supaya budaya rasuah diberi tindakan segera.

“Kerajaan juga perlu ada saluran aduan yang selamat dan boleh dipercayai bagi kakitangan jabatan tersebut serta orang awam untuk melaporkan sebarang penyelewengan atau tindakan rasuah.

“Perlindungan pelapor yang sewajarnya perlu diberikan untuk memastikan mereka tidak terdedah kepada sebarang gangguan atau tindakan balas negatif,” jelasnya.

Tambahnya, penguatkuasaan undang-undang dan hukuman yang tegas adalah penting untuk memastikan keadilan dan pencegahan jenayah tersebut, namun perlu telus, adil serta bebas daripada campur tangan politik.

Jais turut berkata, membina budaya integriti yang kukuh adalah penting dalam kalangan kakitangan melalui kempen komunikasi, pendidikan moral dan etika, serta contoh teladan daripada pengurusan atau pemimpin.

“Langkah-langkah ini perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan serta memerlukan sokongan semua pihak dalam JPN untuk memastikan pencegahan rasuah dan salah guna kuasa menjadi keutamaan utama,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!