Petua Tat Meng buat Zii Jia
[KEMAS KINI] BAGI meraih kejayaan pada peringkat tertinggi, pemain perseorangan badminton profesional negara, Lee Zii Jia perlu memiliki pakej yang lengkap lebih-lebih lagi dalam era sukan moden ketika ini.
Pengarah Kejurulatihan Team LZJ, Wong Tat Meng berkata, kemahiran tinggi semata-mata tidak memadai kerana pemain itu perlu memiliki gabungan kemahiran termasuk mengurus tekanan.
Beliau berkata, Zii Jia mempunyai bakat tinggi dalam badminton, namun untuk berjaya ke tahap lebih tinggi menuntut seseorang pemain itu datang dalam pakej yang lengkap.
“Dia mencipta nama pada usia muda, 23 tahun sudah menjuarai Seluruh England. Satu kejohanan besar buat kita dan seluruh dunia.
“Sudah tentu ramai meletakkan jangkaan tinggi kepadanya dan menjadi satu tekanan untuk menepati jangkaan daripada peminat, media dan seluruh masyarakat.
“Selain kemahiran, saya banyak beritahunya mengenai pemikiran. Bagaimana psikologi dan cara menguruskan tekanan, selain menguruskan kejohanan serta jangkaan. Semua ini perlu bergabung bukan prestasi di atas gelanggang sahaja,” ujar Tat Meng.
Beliau berkata demikian melalui rakaman video temubual khas, dikongsi Team LZJ menerusi akaun Twitter rasmi Team LZJ.
Menurut Tat Meng, Zii Jia juga perlu belajar menerima tekanan dari luar, persekitaran, peminat dan media selain perlu yakin dengan diri sendiri bagi menyamai ekspektasi dengan bertekad dia mampu melakukannya.
Justeru beliau berharap para peminat badminton bersabar kerana dalam arena sukan, tidak konsisten merupakan perkara yang biasa.
“Bukan Zii Jia sahaja, ramai atlet di dunia juga mengalami masalah itu.
“Kita tak boleh kawal perkara ini, namun jika Zii Jia mahu berjaya dalam badminton, konsisten adalah salah satu komponennya,” katanya.
Dalam pada itu, kemas kini terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa menyaksikan pemain dari Kedah itu jatuh dua anak tangga turun ke ranking 16 dunia.
Dalam pada itu, prestasi di tiga kejohanan terdekat bakal menjadi penanda aras buat Tat Meng dalam menyediakan program latihan yang sesuai untuk Zii Jia.
Tat Meng yang baru hari kedua melatih pemain profesional itu mahu menyaksikan sendiri keupayaan Zii Jia ketika beraksi bermula dengan Terbuka Korea Selatan dan Terbuka Jepun yang berlangsung bulan ini serta Terbuka Australia pada Ogos.
“Saya tidak pernah lihat dia (Zii Jia) dalam pertandingan. Jadi, saya mahu lihat bagaimana dia beraksi sebelum tentukan program latihan,” katanya.
Zii Jia dilaporkan kembali mendapat motivasi selepas memilih berehat seketika berikutan prestasi merudumnya termasuk tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia pada Jun lalu.
Zii Jia akan menyingkap kempen Terbuka Korea Selatan yang bakal berlangsung pada 18 hingga 23 Julai ini, berdepan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long pada pusingan pertama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!