Kaji semula tarif air secepat mungkin - Air Selangor

Abas (dua dari kiri) menunjukkan Laporan Kelestarian 2022 oleh Air Selangor bersama Pemangku Pengarah Air Selangor, Ir Ainul Azhar Jemoner (kiri), Ketua Jabatan Kewangan Air Selangor, Kevin Lee (tiga dari kanan), Ketua Jabatan Pengurusan Risiko Air Selangor, Thaverdran Loganathan (dua dari kanan) dan Naib Presiden Pengurusan Risiko Air Selangor, Amanda Lee Mei Ling (kanan) ketika sidang media pada Selasa. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Abas (dua dari kiri) menunjukkan Laporan Kelestarian 2022 oleh Air Selangor bersama Pemangku Pengarah Air Selangor, Ir Ainul Azhar Jemoner (kiri), Ketua Jabatan Kewangan Air Selangor, Kevin Lee (tiga dari kanan), Ketua Jabatan Pengurusan Risiko Air Selangor, Thaverdran Loganathan (dua dari kanan) dan Naib Presiden Pengurusan Risiko Air Selangor, Amanda Lee Mei Ling (kanan) ketika sidang media pada Selasa. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengendali perkhidmatan air Lembah Klang, Air Selangor berharap agar kerajaan mengkaji semula tarif air secepat mungkin.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abas Abdullah berkata, tarif air perlu dinaikkan secara berperingkat bagi memastikan terdapat keseimbangan antara hasil dan perbelanjaan tahunannya.

Menurutnya, Air Selangor mencatatkan RM2.45 bilion jumlah hasil tahun lepas berbanding lebih RM5.14 bilion dalam perbelanjaan operasi dan modalnya.

"Sementara hasil tahun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 12.38 peratus berbanding 2021 (RM2.18 bilion), jumlah perbelanjaan syarikat melebihi jumlah hasil.

"Walaupun terdapat peningkatan dalam hasil, jumlah perbelanjaan (operasi dan modal) melebihi jumlah hasil, semakan tarif air selanjutnya adalah perlu bagi syarikat untuk mencapai kemampanan kewangan," katanya pada sidang akhbar di sebuah pusat beli-belah di sini pada Selasa.

Turut hadir Pemangku Pengarah Air Selangor, Ir Ainul Azhar Jemoner; Ketua Jabatan Kewangan Air Selangor, Kevin Lee; Ketua Jabatan Pengurusan Risiko Air Selangor, Thaverdran Loganathan dan Naib Presiden Pengurusan Risiko Air Selangor, Amanda Lee Mei Ling.

Jelasnya, kelewatan selanjutnya dalam pelarasan tarif akan menyebabkan cabaran bagi Air Selangor untuk mencapai pemulihan kos penuh dan menghalang keupayaan Air Selangor untuk terus menaik taraf infrastruktur air

“Kelewatan pelarasan tarif air dilihat akan memberi kesan kepada tahap perkhidmatan Air Selangor dalam jangka masa panjang.

Mengulas lanjut mengenai pelarasan tarif bekalan air untuk akaun bukan domestik berkuat kuasa pada 1 Ogos tahun lalu Air Selangor menaikkan purata 20 sen bagi setiap meter padu bagi kategori pelanggan bukan domestik, termasuk di sektor industri dan perniagaan.

“Manakala kali terakhir pelarasan pengguna domestik dibuat pada tahun 2006 dan kekal hingga sekarang iaitu bayaran untuk pelanggan domestik adalah pada kadar 57 sen setiap meter padu untuk 20m³ pertama; RM1.03 untuk 15m³ seterusnya, dan RM2 untuk penggunaan melebihi 35m³.

“Namun begitu, Air Selangor kini beroperasi dalam persekitaran tarif yang tidak memulihkan capex dan opex dan tiada keseimbangan antara hasil dan perbelanjaan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, syarikat meningkatkan perbelanjaan capex sebanyak 88.21 peratus kepada RM2.58 bilion pada 2022 berbanding RM1.37 bilion pada 2021.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!