LRT3 mula beroperasi 1 Mac 2025 - Anthony

Anthony menaiki tren dari Heavy and Light Maintenance Building (HLMB) Depoh Johan Setia ke trek percubaan ketika meninjau Projek Transit Aliran Ringan Laluan Shah Alam (LRT3), di sini pada Selasa. - Foto Bernama
Anthony menaiki tren dari Heavy and Light Maintenance Building (HLMB) Depoh Johan Setia ke trek percubaan ketika meninjau Projek Transit Aliran Ringan Laluan Shah Alam (LRT3), di sini pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KLANG - Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang dijangka mula beroperasi pada 1 Mac 2025 akan memberi manfaat kepada dua juta penduduk di koridor barat Lembah Klang, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, projek LRT3 kini sedang rancak dilaksanakan dan kemajuan pembinaan projek tersebut telah mencapai 86 peratus.

"Kerja-kerja pembinaan hampir siap, sekarang ini juga rancak dilaksanakan kerja-kerja berkenaan dengan sistem signalling dan sebagainya.

"Dijangkakan LRT3 mula beroperasi pada 1 Mac 2025 iaitu 18 atau 19 bulan dari sekarang, kita menjangkakan projek ini bakal memberikan kemudahan kepada lebih dua juta penduduk di sekitar pantai barat Lembah Klang terutamanya dari Petaling Jaya ke Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau perkembangan dan prestasi Projek LRT3 Laluan Shah Alam di Depoh Johan Setia, di sini pada Selasa.

Anthony berkata, projek yang menelan belanja RM16 bilion itu mempunyai 22 tren 3-gerabak dengan kapasiti 18,630 penumpang setiap jam.

"Kawasan ini padat dengan penduduk dan pembangunan, dijangkakan setiap hari kita boleh memberikan kemudahan kepada puluhan ribu penumpang menggunakan LRT3.

"Projek ini juga akan ada dua stesen pertukaran, iaitu di Bandar Utama yang menghubungkan laluan MRT Kajang Line ke LRT3 dan Glenmarie yang menghubungkan antara LRT Kelana Jaya Line dengan LRT3. Ia merupakan keterhubungan yang baik, di tengah-tengahnya ada jejambat yang menghubungkan kedua-dua stesen berkenaan,” katanya.

Katanya, kesemua tren telah bersedia dan sedang diuji supaya dapat beroperasi dengan baik selepas dibuka selain ia mengamalkan teknologi hijau yang lebih mesra alam. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!