'Melayu akan hilang negara mereka, hilang di dunia' - Tun M

Mahathir Mohamad
Mahathir Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Melayu bukan sahaja berisiko kehilangan negara, bahkan hilang di dunia sekiranya tanah Melayu dihapuskan dan diganti dengan negara berbilang kaum, Malaysian Malaysia.

Beliau mendakwa Melayu sudah kehilangan banyak wilayah dan aliran kini menunjukkan Melayu tidak akan kekal sebagai satu bangsa.

"Semua estet besar milik penjajah sudah dibeli oleh orang yang kaya. Estet yang dimiliki oleh kerajaan dari lain-lain tanah kerajaan juga dijual kepada pihak yang kaya dan hampir kesemuanya bukan Melayu.

"Akhirnya pemerintah Malaysia juga tidak dapat dipengaruhi oleh orang Melayu. Kita sedang lihat di dalam wilayah yang sudah tidak lagi dikuasai oleh orang Melayu nasib orang Melayu amatlah buruk.

"Kita sudah lihat dan boleh teliti apa yang sudah jadi kepada wilayah tanah Melayu yang sekarang dimiliki oleh bukan Melayu. Lihat dan ambil iktibar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menjelaskan, percubaan Malaysian Malaysia pernah diperkenal kali pertama oleh Malayan Union British namun ditolak dan cadangan sama juga dibuat Parti Tindakan Rakyat (PAP) tetapi turut ditolak dalam Pilihan Raya Umum 1964.

"Sekarang DAP dengan disokong oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah sekali lagi memperkenal matlamat yang sama iaitu Malaysia bukan negara yang asalnya tanah Melayu tetapi Malaysia adalah negara berbilang bangsa.

"Tidak pernah terjadi pendatang asing atau keturunan mereka yang diberi suaka di sesuatu negara menuntut supaya negara yang memberi kerakyatan kepada mereka ditukar supaya dijadikan negara kaum pendatang, iaitu negara berbilang kaum.

"Itulah maksud Malaysian Malaysia. Negara Melayu hendaklah ditukar menjadi negara berbilang kaum Malaysian Malaysia. Tanah Melayu dihapuskan dan diganti dengan negara berbilang kaum Malaysian Malaysia," katanya.

Justeru Mahathir berkata, terpulanglah kepada orang Melayu memikir sama ada keadaan dalam negara berbilang kaum akan menguntungkan orang Melayu atau tidak.

Tambah beliau, Proklamasi Orang Melayu bukan berhajat merampas hak dan milik orang lain, sebaliknya hanya ingin mendapat keadilan.

"Iaitu pengiktirafan Semenanjung ini sebagai Tanah Melayu, menerima pendatang dan keturunan mereka sebagai bangsa yang diserap seperti orang keturunan Arab, India, Pakistan, Indonesia dan lain-lain diserap menjadi bangsa Melayu. Menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Bagi pendatang dan keturunan mereka yang ingin kekal identiti mereka dengan negara asal mereka, layanan terhadap mereka tentulah berbeza dengan layanan terhadap penduduk asal serta mereka yang menerima penuh bahasa dan budaya kebangsaan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!