Pelepasan sisa nuklear ikut standard keselamatan antarabangsa
GENEVA - Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Selasa berkata rancangan Jepun untuk melepaskan air radioaktif terawat yang disimpan di stesen janakuasa nuklear Fukushima ke laut, konsisten dengan piawaian keselamatannya.
Selepas semakan dua tahun, badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu juga berkata, pelepasan air yang dirawat oleh Sistem Pemprosesan Cecair Lanjutan (ALPS), sistem penulenan loji itu menghasilkan kesan radiologi yang kecil ke atas manusia dan alam sekitar.
"Berdasarkan penilaian komprehensifnya, IAEA membuat kesimpulan bahawa pendekatan dan aktiviti pelepasan air terawat ALPS yang dilaksanakan oleh Jepun adalah konsisten dengan piawaian keselamatan antarabangsa yang berkaitan.
"IAEA berkata pelepasan terkawal dan beransur-ansur air terawat ke laut, seperti yang dirancang dan dinilai oleh TEPCO (Tokyo Electric Power) pada masa ini, akan mempunyai kesan radiologi yang sangat kecil ke atas manusia dan alam sekitar," lapor Agensi Berita Yonhap memetik Ketua Pengarah IAEA, Rafael Mariano Grossi.
Grossi secara rasmi membentangkan laporan itu kepada Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di Tokyo awal hari itu.
Beliau berkata, laporan oleh pasukan petugas IAEA dan pakar bebas dari 11 negara berbeza itu mewakili pencapaian penting dalam semakan IAEA.
"IAEA akan terus memberikan ketelusan kepada masyarakat antarabangsa yang membolehkan semua pihak berkepentingan bergantung pada fakta dan sains yang disahkan untuk memaklumkan pemahaman mereka tentang perkara ini di sepanjang prosesnya," katanya.
Semakan keselamatan itu akan terus memastikan Jepun dan TEPCO menggunakan piawaian keselamatan antarabangsa yang berkaitan sepanjang proses pelepasan selama berdekad-dekad itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!