Tiket Piala Sultan Selangor dijual hujung Ogos

Peminat bola sepak tanah air boleh mendapatkan tiket yang dijual dengan harga RM10 bagi menyaksikan perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Oktober depan. - Gambar hiasan, gambar kecil: Abd Karim
Peminat bola sepak tanah air boleh mendapatkan tiket yang dijual dengan harga RM10 bagi menyaksikan perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Oktober depan. - Gambar hiasan, gambar kecil: Abd Karim
A
A
A

TIKET aksi Piala Sultan Selangor (TSSC) edisi ke-19 yang kembali dianjurkan selepas tiga tahun ditangguh akan mula dijual akhir Ogos ini.

Pengerusi dan Pengurus Pasukan Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, peminat bola sepak tanah air boleh mendapatkan tiket yang dijual dengan harga RM10 bagi menyaksikan perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Oktober depan.

“Kita menjual tiket dengan harga yang murah dan penonton berpeluang mendapat cabutan bertuah. Seperti sebelum ini ada hadiah kereta, motosikal dan penginapan.

“Kami menyasarkan 70,000 penonton akan memenuhi stadium menyaksikan perlawanan itu," katanya selepas mesyuarat jawatankuasa Piala Sultan Selangor edisi ke-19 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan stadium yang sedang dibaik pulih dengan kerja-kerja penggantian rumput kepada jenis Zeon Zoysia itu siap sebelum kejohanan berlangsung.

Abd Karim berkata, selain menyaksikan perlawanan bola sepak, penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan penyanyi terkenal tanah air Datuk Jamal Abdillah.

Piala Sultan Selangor yang diilhamkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2001 itu bertujuan mengembalikan nostalgia kehebatan pemain 'The Red Giants' dan Singapura yang kerap bertembung dalam aksi final Piala Malaya dan Piala Malaysia.

Kejohanan itu bakal melibatkan pasukan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura bagi merebut piala berprestij Piala Sultan Selangor serta wang tunai RM80,000 selain perlawanan antara veteran kedua-dua pasukan sebagai aksi pembuka tirai.

Kali terakhir Piala Sultan Selangor dianjurkan ialah pada 2019 dengan Pilihan Selangor merangkul kejuaraan selepas menundukkan Pilihan Singapura 1-0. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!