Polis Kelantan waspada penggunaan pistol pen

Muhamad Zaki (kiri), Pistol pen (gambar kecil) - Gambar hiasan. Sumber internet.
Muhamad Zaki (kiri), Pistol pen (gambar kecil) - Gambar hiasan. Sumber internet.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengambil langkah waspada terhadap penggunaan senjata baharu, pistol pen yang dipercayai digunakan oleh penjenayah di negara jiran.

Ketua Polis Negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, walau bagaimanapun, setakat ini, belum ada sebarang kes berkaitan senjata itu berlaku di Kelantan.

Menurutnya, beliau turut mengarahkan ketua-ketua polis daerah untuk melakukan pemantau ketat bagi mengekang perkara itu.

“Saya sudah mengeluarkan arahan supaya semua ketua polis daerah dan para anggota membuat pemeriksaan kerana ini adalah satu perkembangan baharu.

“Kami tak mahu ada kes berlaku walaupun senjata itu tidak boleh membunuh tetapi mampu mencederakan mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, risalah contoh pistol pen itu juga diedarkan bagi memudahkan pihak polis mengecam senjata terbabit bagi tujuan waspada.

“Senjata pen ini didedahkan oleh pihak berkuasa di negara jiran. Jadi kita tak mahu berlaku kes melibatkan pistol pen di sini.

"Jika ada, saya tegaskan perkara tersebut adalah satu kesalahan,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan penjenayah di daerah di Sungai Golok, Thailand dikesan menggunakan pistol pen untuk menyerang musuh mereka termasuk dari Malaysia.

Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Pratya Baite yang memberitahu perkara itu menyatakan senjata terbabit kelihatan seperti pen biasa dan mudah dibawa tanpa dikesan.

Beliau berkata, penjenayah akan mengisi peluru dalam kartrij, membidik dan menekan butang untuk menembak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!