MTEN bincang keadaan ekonomi semasa Isnin ini - Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan membincangkan perkara mengenai pembangunan ekonomi semasa di mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), pada Isnin depan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli juga menyifatkan forum serta platform berkenaan sebagai tepat bagi membincangkan pelbagai perkara, termasuk pertukaran asing, dasar monetari, eksport, import dan data berkaitan keluaran dalam negara kasar.

"Saya tidak mahu memberi maklum balas ringkas (mengenai isu-isu ekonomi) hanya untuk menjawab pertanyaan pihak media. (Biarlah) kami membincangkan serta meneliti isu-isu ekonomi harian, prestasi ekonomi, struktur dan berkaitan dasar.

"Setiap kementerian dan Bank Negara Malaysia mempunyai pandangan masing-masing dan apa yang terbaik adalah menelitinya secara tertutup,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan ‘Innovathon,' sebuah program realiti televisyen mengenai ekonomi, teknologi dan inovasi yang memaparkan kemahiran serta idea inovatif dalam kalangan rakyat tempatan.

Mengulas selanjutnya, Rafizi juga menegaskan bahawa beliau lebih mengutamakan pandangan jangka pertengahan dan panjang serta menumpukan usaha pelaksanaan pembaharuan utama yang diperlukan negara seperti peralihan tenaga yang kini berjalan lancar.

"Ketika kita bercakap, pasaran turut memberi reaksi dan semakin banyak syarikat-syarikat tersenarai awam yang memilih untuk melaksanakan inisiatif hijau. (Pada masa sama) kita juga berharap pasaran akan kembali pulih dan memaparkan (perkembangan) yang sewajarnya.

"Apabila keseimbangan tepat antara pertumbuhan dan inflasi dapat dikekalkan, kita berharap ini membawa kepada reaksi pasaran dan (prestasi) mata wang akan turut memaparkan keadaan itu (dengan sewajarnya),” katanya.

Bercakap pada majlis itu, Rafizi menyifatkan rancangan realiti 'Innovathon' itu sebagai satu misi untuk menggalakkan budaya inovasi dengan gabungan elemen hiburan untuk penonton.

Rancangan hasil kerjasama antara Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) serta stesen Astro, turut menerima sejumlah 1,033 penyertaan dari seluruh negara dengan peserta paling muda berusia tujuh tahun dan tertua berumur 73 tahun.

Sebanyak 56 idea telah dipilih daripada kalangan penonton untuk dipertandingkan dalam program lapan episod yang melibatkan pemerkasaan kemahiran mikroekonomi dan menyediakan mereka dengan platform kompetitif untuk membangunkan idea masing-masing.

Setiap episod akan mengetengahkan lapan peserta yang saling bersaing dengan hanya satu atau dua idea terbaik akan mara ke peringkat akhir.

Bagi merebut ganjaran dalam bentuk pelaburan bernilai sehingga RM1 juta, para peserta terbabit akan membentangkan idea mereka di hadapan 100 bakal pengguna dalam setiap episod.

‘Innovathon’ akan disiarkan pada setiap 9 malam Sabtu di Astro Ria (Saluran 104) mulai 15 Julai, 2023. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!