Dua along simbah cat ditahan
KOTA BHARU - Dua individu dipercayai terbabit dengan kegiatan along termasuk melakukan ugutan dan menyimbah cat ke rumah mangsa di kawasan ini ditahan pada Isnin.
Suspek wanita berusia 45 dan lelaki berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek dikesan licik menawarkan pinjaman wang tidak berlesan kepada mangsa dengan menggunakan nama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
“Suspek wanita tempatan itu menggunakan kedudukannya sebagai orang yang boleh mengendalikan AIM dan menawarkan pinjaman kepada mangsa yang berdepan kesukaran dalam membuat pembayaran dengan memberi pinjaman tanpa mangsa mengetahui mereka sebenarnya along.
“Suspek lelaki bukan orang tempatan tetapi tinggal di Kelantan itu pula bertindak menguruskan soal pinjaman ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini pada Selasa.
Ujarnya, kedua-dua suspek direman sehingga esok dan akan disambung untuk membantu siasatan.
Dalam pada itu, Muhamad Zaki turut mengisytiharkan ‘perang’ dengan along dan terus melakukan pemerhatian di tempat yang dijangka menjadi tumpuan termasuk pasar serta pusat beli-belah.
Katanya, mereka yang terjerat dengan pinjaman along menerima pelbagai ugutan dan diugut oleh pihak berkenaan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat pinjaman dengan along.
“Saya (isytihar) ‘perang’ kerana banyak insiden mangsa ditakutkan dan disimbah cat di luar rumah mereka.
“Saya nak ingatkan pada semua jangan terperangkap dengan mana-mana orang yang mempelawa kononya boleh memudahkan pinjaman,” katanya.
Beliau juga menyeru masyarakat menyalurkan maklumat pergerakan ejen-ejen along yang datang pada waktu-waktu tertentu untuk mengutip wang.
“Tolong bagi maklumat kepada polis kerana saya tidak mahu orang kampung atau mereka yang susah dan tidak tahu tentang kegiatan along ini, diberi tekanan oleh pihak terbabit,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!