[VIDEO] Kerajaan perlu 'diajar' dengar suara rakyat - Che'gubard
SHAH ALAM - Kerajaan perlu 'diajar' mendengar suara rakyat yang realitinya kini sedang bergelut untuk hidup.
Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin berkata, kerana itu beliau mengharapkan enam pilihan raya negeri (PRN) menjadi satu referendum rakyat.
"Saya mengharapkan apa yang berlaku dalam PRN nanti adalah satu referendum rakyat supaya kerajaan hari ini belajar mendengar.
"Lakukan dengan bijak, biar Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) mendengar sebenarnya, bukan lagi angkuh dan sombong duduk dalam Parlimen bertanya pada rakyat apa barang yang naik," katanya menerusi Wacana Sinar Siri 404, disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Program membincangkan topik bertajuk 'PRN: Adakah Bom Jangka Kedua?' turut membariskan Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; Naib Pengerusi PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sebagai panelis.
Badrul Hisham yang dikenali sebagai Che’gubard berkata, negara sudah terkeluar daripada landasan dan gabungan kuasa rakyat diperlukan untuk memulihkan negara.
"Kesimpulannya, rakyat sedang bergelut di bawah ini. Bentanglah pelbagai angka, rakyat ketawakan diri sendiri yang sedang menderita di bawah sana," katanya.
Beliau juga menggesa kerajaan agar lebih fokus dengan melaksanakan tanggungjawab.
"Sudahlah menjanjikan rakyat dengan pelbagai formula. Henti lah salahkan belakang, depan, kiri dan kanan. Fokus buat kerja masing-masing dengan betul," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!