Saraf mata Ahmad Zahid tak berfungsi - Nurulhidayah

Menurut Nurulhidayah, Ahmad Zahid ketika ini sedang dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan mata - Foto Instagram Nurulhidayah dan Bernama
Menurut Nurulhidayah, Ahmad Zahid ketika ini sedang dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan mata - Foto Instagram Nurulhidayah dan Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Anak sulung Timbalan Perdana Menteri, Datuk Nurulhidayah tampil mendedahkan punca mata bapanya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelihatan lebam dan bengkak sehingga mencuri tumpuan warga maya sejak beberapa hari lalu.

Menurut Nurulhidayah, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO ketika ini sedang dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan mata.

Menerusi ruangan komen di laman Instagram, dia menambah bapanya terpaksa melakukan pembedahan kerana saraf pada bahagian mata tidak berfungsi.

"Iya... saraf mata dia tak berfungsi. Itu mata dia jadi (kelihatan) jatuh.

"Buat muka untuk apa, bukan 'superstar' pun. Kalau sampai mudarat sebab saraf mata kena la buat sesuatu.

"Tetapi biasa lah orang lagi seronok fitnah daripada tahu perkara sebenar," kata Nurulhidayah membalas pertanyaan salah seorang pengikut laman sosialnya, pada Selasa.

Dalam masa sama, Nurulhidayah memaklumkan sebagai ahli politik dan menggalas tanggungjawab besar dalam pentadbiran kerajaan, bapanya tidak mengambil cuti lama selepas menjalani pembedahan.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dilaporkan bercuti selama dua minggu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kemudian membuat 'kemunculan' dengan berkaca mata hitam ketika merasmikan Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Asia Pasifik ke-23 di ibu negara pada 26 Jun lalu.

Beberapa hari selepas itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu tidak lagi mengenakan kaca mata, dan menampakkan keadaan matanya yang lebam. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!