Sayonara Mount buat peminat Chelsea
TEKA-TEKI status pemain sensasi, Mason Mount bersama Chelsea terjawab apabila dia mengesahkan akan berkelana ke kelab pesaing, Manchester United pada musim panas ini.
Red Devils difahamkan bersedia dengan yuran perpindahan bernilai 55 juta pound (RM325.45 juta) buat pemain berusia 24 tahun itu.
"Spekulasi ini sudah berlaku sejak enam bulan lalu dan ia mungkin bukan kejutan bagi anda.
"Namun bukan mudah untuk memberitahu anda bahawa saya membuat keputusan untuk meninggalkan Chelsea," tulis Mount dalam mesej ucapan perpisahan kepada penyokong Chelsea menerusi Instagram.
Mount dilahirkan menerusi sistem remaja Chelsea dan meledak 27 gol daripada 129 penampilan dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak membuat debut bersama skuad senior pada 2019.
"Saya fikir anda berhak mendapat lebih lagi berbanding hanya kenyataan bertulis, jadi saya mahu memberitahu secara langsung betapa saya bersyukur dengan sokongan anda sejak 18 tahun lalu.
"Saya tahu ada dalam kalangan anda tidak gembira dengan keputusan ini, tetapi ia adalah apa yang betul dalam karier saya buat masa ini.
"Saya menyertai Chelsea sejak berusia enam tahun dan banyak yang kami lalui bersama," ujar Mount.
Mount menjadi antara watak penting ketika membantu Chelsea memenangi gelaran Liga Juara-Juara 2021.
Dia menjadi pencetus kejayaan apabila mengumpan bola kepada Kai Havertz yang meledak gol kemenangan 1-0 ke atas Manchester City pada aksi final.
Mount menjaringkan lima gol dalam 36 penampilan bersama skuad kebangsaan England.
Bagaimanapun Mount berdepan prestasi tidak menentu dan masalah kecergasan pada musim 2022/23 apabila hanya menjaringkan tiga gol dalam 35 perlawanan dalam semua kejohanan.
Kehadiran Mount mampu memberi lebih pilihan kepada pengurus United, Erik ten Hag untuk memantapkan jentera tengahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!