Brazil pertaruh pengalaman Diniz
PERSEKUTUAN Bola Sepak Brazil (CBF) melantik pengendali Fluminense, Fernando Diniz sebagai ketua jurulatih sementara skuad Samba, ketika badan induk itu giat berusaha mendapatkan khidmat Carlo Ancelotti.
Diniz, 49 tahun bekas pemain tengah beberapa kelab Liga Brazil diikat kontrak setahun bersama skuad Samba bermula dengan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 pada September, kata CBF.
"Ia adalah impian bagi sesiapa sahaja. Ia satu penghormatan dan satu kebanggaan untuk berkhidmat kepada pasukan kebangsaan. Ia adalah panggilan, terutamanya cara ia berlaku, dalam usaha bersama antara CBF dan Fluminense.
"Saya yakin kami mempunyai segala-galanya untuk membawa pasukan ini ke hadapan dan menjadikannya berkesan," kata Diniz dalam video yang disiarkan di laman web penyiar Brazil Globo.
Pada masa sama CBF juga masih berusaha mendapatkan pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti untuk menjadi jurulatih baharu skuad Brazil dalam jangka panjang, kata Globo.
Globo, memetik Presiden CBF, Ednaldo Rodrigues, melaporkan pengendali dari Itali itu akan mengendalikan skuad Brazil bagi kempen Copa America 2024, yang bermula pada 20 Jun di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, butiran mengenai kontrak dan tarikh mula Ancelotti berkhidmat masih belum diketahui, tambah Globo.
Ancelotti mempunyai kontrak dengan Madrid sehingga 2024 sebelum ini berkata, dia akan menghormati tahun terakhir bersama gergasi LaLiga Sepanyol tersebut.
Sebagai rekod, kerusi pengendali skuad Brazil kosong sejak Tite meletak jawatan setelah pasukan itu tersingkir pada suku akhir Piala Dunia 2022 di Qatar.
Terdahulu, juara dunia lima kali itu dilatih pengendali skuad Bawah 20 tahun, Ramon Menezes, ketika menentang pasukan Senegal dalam perlawanan persahabatan di Stadium Jose Alvalade, Lisbon baru-baru ini.
Dalam pada itu, Diniz akan meneruskan peranannya di Fluminense biarpun mengendalikan pasukan kebangsaan, kata CBF.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!