MPAJ terbuka kepada cadangan bangunkan tanah terbiar
AMPANG - [DIKEMAS KINI] Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terbuka kepada cadangan untuk memajukan tanah terbiar di kawasan itu bagi tujuan mengoptimumkan penggunaan tanah kepada aktiviti menguntungkan.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkata, mana-mana pihak boleh memohon untuk membangunkan tanah terbiar khususnya untuk dijadikan kebun komuniti namun perlu membuat permohonan dan mendapatkan kelulusan MPAJ.
"MPAJ amat mengalu-alukan sebarang cadangan untuk membangunkan tanah terbiar untuk dijadikan kebun komuniti tetapi perlulah mendapat kelulusan MPAJ untuk kami melihat kesesuaian dan status tanah tersebut," katanya.
Perkara itu dimaklumkan di laman Facebook MPAJ pada Rabu dan meminta orang ramai yang berhasrat untuk membuat permohonan agar menghubungi Jabatan Belia, Masyarakat dan Landskap di talian 03-4285 7012.
Pada Selasa, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail bersama pegawai Jabatan Belia, Masyarakat dan Landskap MPAJ turut mengadakan lawatan ke kebun komuniti pegaga di Bukit Indah bagi meninjau kemajuan kebun komuniti berkenaan.
Kebun komuniti pegaga Bukit Indah pernah menerima anugerah khas apabila memperkenal sistem teknologi bponik yang mampu mengawal kadar asid dan alkali dalam rumah hijau manakala projek komuniti di kebun komuniti ceria Indah pula diiktiraf antara 10 projek terbaik negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!