Pengarah syarikat tak mengaku culas selenggara buku stok
SEREMBAN - Seorang pengarah syarikat pemborong minyak diesel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini pada Rabu atas dua pertuduhan gagal menyelenggara buku stok bagi setiap pembelian Mac lalu.
Tertuduh, Tan Kok Keong, 69, yang merupakan pemilik syarikat bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mazni Nawi selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pemborong nombor lesen PB 05000183 gagal untuk menyelenggara buku stok bagi setiap pembelian barang berjadual iaitu minyak diesel yang tidak mengandungi harga jualan, harga belian dan alamat pembeli yang telah melanggar Peraturan 13 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Kesalahan itu dilakukan pada 27 Mac 2023 jam lebih kurang jam 10.32 pagi di Kuala Sawah, Rantau.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM5 juta.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan sama yang mana ketika kesalahan itu dilakukan tertuduh merupakan pengarah syarikat.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Janawatul Fieza Hamisan dan tertuduh diwakili peguam, Eric Yeow Kok Heng.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes 9 Ogos ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!