Pekerja kilang rugi RM87,400 diperdaya skim pelaburan saham

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang pekerja kilang berputih mata selepas kerugian RM87,400 kerana diperdaya skim pelaburan saham yang tidak wujud bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil daerah ini menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut daripada mangsa yang berusia 40-an baru-baru ini.

"Siasatan mendapati, mangsa telah berminat untuk menyertai skim pelaburan saham itu melalui 'group WhatsApp' pada 4 Mei lalu. Mangsa mula melabur pada 12 Jun lalu.

"Selepas itu mangsa diberitahu bahawa keuntungan pelaburan beliau telah bertambah sebanyak RM180,000. Mangsa mahu mengeluarkan semua keuntungan pelaburan tersebut tetapi diarahkan membuat bayaran cukai sebanyak RM24,000.90," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, setelah bayaran dibuat mangsa yang sebelum ini hanya berhubung dengan suspek menggunakan aplikasi WhatsApp, gagal berbuat demikian.

Pada masa sama kata Rahmat, mangsa dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp tersebut.

"Mangsa menyedari ditipu pada 4 Julai lalu sebelum membuat laporan polis. Jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa sebanyak RM87,400 termasuk nilai pelaburan yang dibuat," ujar beliau.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang awam dinasihatkan berhati-hati dalam membuat pelaburan. Jangan mudah gelap mata dan tamak dengan tawaran dijanjikan dan mengambil mudah dalam meraih keuntungan lumayan.

"Rujuk ke balai polis berhampiran sekiranya berdepan sebarang kekeliruan atau dapatkan nasihat lanjut dari bank negara berhubung skim pelaburan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!