PRN: Calon PKR terlibat politik wang boleh dipecat
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang terlibat politik wang dan rasuah semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri berdepan tindakan pemecatan.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, memberikan amaran keras tersebut bagi memastikan PRN yang bakal diadakan tidak lama lagi berjalan secara sihat dan adil.
Menurutnya, setakat ini pihaknya tidak menerima aduan daripada orang awam dan ahli membabitkan isu tersebut.
"Kempen pilihan raya belum dijalankan jadi memang tiada aduan diterima membabitkan calon yang memberi duit untuk menang.
"Berdasarkan pengalaman lalu, hanya ada aduan melibatkan pemilihan parti namun bagi kes PRU (Pilihan Raya Umum) memang tidak ada, " katanya mengulas isu politik wang menjelang PRN.
Enam negeri bakal terlibat dalam PRN ialah Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.
Yee Kew pada masa sama menyeru calon-calon PKR dapat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentang rasuah.
"Ada peruntukan yang membolehkan calon dilucutkan kelayakan serta merta jika melakukan kesalahan tersebut.
"Kes mereka akan dibawa ke Lembaga Disiplin PKR dan berdepan tindakan dipecat. Apabila dipecat bermakna disenarai hitam menjadi calon PKR pada masa akan datang," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian bagi PRN di enam negeri akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!