Hanya 30 peratus pencarum KWSP capai sasaran simpanan RM240,000
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Hanya 30 peratus daripada 8.7 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang aktif mencapai sasaran simpanan asas mengikut umur sebanyak RM240,000.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagi jumlah keseluruhan iaitu 15.8 juta ahli, hanya 18 peratus memenuhi sasaran.
Jelasnya, simpanan asas mengikut umur sebanyak RM240,000 merupakan sasaran minimum apabila pencarum mencapai umur 55 tahun.
“Ketidakcukupan simpanan persaraan amat membimbangkan dan ia berlaku disebabkan pelbagai faktor.
“Antaranya adalah struktur gaji yang rendah, salah jajaran antara umur pengeluaran penuh dan umur persaraan, caruman yang tidak konsisten dan kurang pekerjaan serta kadar celik kewangan yang rendah,” katanya pada Rabu.
Beliau berkata demikian semasa ucapan pembukaan pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2023 yang bertemakan ‘Changing the Game: Building the World We Want’.
Tambah Amir, liputan perlindungan sosial di Malaysia pada masa ini adalah sempit dan tidak mencukupi dengan hanya 9.1 peratus penerima dilindungi berbanding purata 55.1 peratus untuk Asia dan 12.8 peratus untuk dunia.
"Pergantungan golongan tua turut menunjukkan peningkatan daripada setiap 10 orang dewasa umur bekerja yang diperlukan untuk menyokong seorang warga emas pada 2020, kepada tiga orang dewasa umur bekerja pada 2050.
"Populasi Malaysia berumur 65 tahun ke atas meningkat lebih cepat daripada kumpulan umur lain, sistem perlindungan sosial yang lebih inklusif diperlukan," katanya.
Amir berkata, bagi menghadapi cabaran berterusan, KWSP sedang melaksanakan langkah bagi menjamin kesejahteraan persaraan masa depan rakyat Malaysia.
“Memandangkan keahlian KWSP kini mencecah 15.8 juta ahli, kami berusaha untuk melaksanakan strategi jangka panjang untuk mewujudkan impak positif dan memupuk kesejahteraan, terutamanya di kalangan warga emas.
“Antara lain, KWSP kini tertumpu kepada lanjutan perlindungan KWSP dan meningkatkan kecukupan simpanan persaraan ahli,” ujarnya.
Menurut Amir, KWSP telah mengerahkan unit mudah alih untuk menjangkau tujuh juta orang dalam sektor tidak formal dan bekerja sendiri yang berpotensi menjadi ahli KWSP.
Jelasnya, ini kerana sifat kerja telah berubah dan hanya 56 peratus daripada 16.7 juta tenaga buruh Malaysia mempunyai beberapa bentuk perlindungan sosial formal.
“Kami juga sedang meneroka pelbagai pendekatan lain untuk meningkatkan landskap pencen dan persaraan negara.
“Ini termasuk pilihan pengeluaran pendapatan asas untuk mengukuhkan tawaran dekumulasi kami untuk menyediakan ahli sumber pendapatan persaraan tambahan.
“Penubuhan Tunjang 1 bagi Rangka Kerja Pendapatan Pelbagai Lapisan Pertubuhan Buruh Antarabangsa juga merupakan satu lagi bidang yang kami sedang giat mengkaji melalui pengenalan pencen negara penyumbang,” katanya.
Oleh demikian, menurut beliau, ISWC yang bertujuan meningkatkan kehidupan dan kesejahteraan individu dan komuniti diadakan bagi mengemukakan idea serta perspektif baharu dalam menangani kebimbangan negara.
“Bersama-sama kita meneroka persimpangan kemajuan ekonomi dan sosial, memberi penerangan tentang cabaran dan peluang fenomena penuaan, pendigitalan, dan perubahan dunia pekerjaan, sambil menekankan kepentingan sistem perlindungan sosial dalam membolehkan kemajuan kita.
“Kami juga akan menumpukan perhatian kepada cara untuk mewujudkan masyarakat yang menjunjung nilai hak individu, sambil mengutamakan kesejahteraan kolektif, berusaha untuk mencapai keseimbangan yang harmoni antara kedua-duanya dan sebagainya lagi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!