Tangkap ikan guna renjatan elektrik, bekas ADUN dipanggil

Tangkap layar video tular memaparkan bekas ADUN menangkap ikan menggunakan peralatan terlarang.
Tangkap layar video tular memaparkan bekas ADUN menangkap ikan menggunakan peralatan terlarang.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu dipanggil bagi memberi keterangan susulan penularan video memaparkan tindakan beliau menangkap ikan menggunakan alatan terlarang.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, rakaman keterangan daripada bekas ADUN itu telah diambil pada Selasa.

"Kita menerima laporan berkaitan video tular itu pada Isnin (3 Julai) dan pihak jabatan telah menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

"Individu terlibat juga telah dipanggil dan kini pihak jabatan sedang melengkapkan siasatan sebelum kita rujuk kepada penasihat undang-undang negeri Terengganu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Rabu.

Menurut Ruzaidi, siasatan kes itu dijalankan di bawah Seksyen 3 Kaedah- Kaedah Perikanan Darat Negeri Terengganu 1988 iaitu penangkapan ikan dengan menggunakan peralatan terlarang.

"Antara peralatan terlarang termasuk menggunakan racun, bahan letupan dan peralatan-peralatan mekanikal atau elektrik.

"Jika disabitkan kesalahan, pelaku berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,"jelas beliau.

Terdahulu tular video berdurasi 24 saat di media sosial memaparkan bekas ADUN berkenaan sedang menangkap ikan di sebuah lokasi yang tidak dikenal pasti menggunakan renjatan elektrik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!