Belanda haramkan telefon bimbit dalam bilik darjah
AMSTERDAM - Belanda merancang untuk mengharamkan penggunaan telefon bimbit di bilik darjah melainkan ia diperlukan dalam sesi pembelajaran, menurut menteri pendidikan ketika membentangkan perkara itu di Parlimen pada Selasa, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Larangan itu akan dikuat kuasa tahun depan. Sekolah akan merangka peraturan sendiri menjelang Oktober, menurut Menteri Pendidikan Robbert Dijkgraaf, lapor The Hague.
Murid yang menggunakan media sosial atau aplikasi lain semasa pembelajaran didapati tidak dapat memberi tumpuan di dalam kelas, hingga mengganggu interaksi sosial di dalam bilik darjah, katanya.
Kementerian sebelum ini telah berunding dengan saintis dan persatuan ibu bapa dan guru, dan semua pihak yang terlibat menegaskan penumpuan dan penyertaan semasa sesi pembelajaran adalah penting.
Pelajar berhak mendapat persekitaran pembelajaran yang optimum tanpa gangguan yang tidak perlu, menurut kementerian itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!