Muhammad Faiz masih berminat pertahan kerusi DUN Permatang Pasir
TUMPAT - [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil masih berharap dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadualkan pada 15 Ogos depan.
Muhammad Faiz turut mengakui masih berminat untuk mempertahankan kerusi DUN Permatang Pasir yang disandang sebelum ini.
Bagaimanapun beliau menyerahkan keputusan memilih calon kepada pucuk pimpinan parti.
"Saya sudah melakukan yang terbaik dan pemimpin parti diberi kepercayaan untuk memilih calon sesuai kerana paling penting kita mahu menang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Siap Naik Taraf Slipway kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tumpat sempena Program Rahmah Mesra Madani Bersama Nelayan Tumpat di Kompleks Perikanan LKIM Geting, Tumpat pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah LKIM Kelantan, Khuzaimah Husain.
Berkaitan desas-desus bahawa pimpinan parti mahu memberi laluan kerusi Permatang Pasir kepada bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Muhammad Faiz memberitahu beliau akur jika perkara itu benar.
"Jika itu keputusan dan polisi parti serta difikirkan boleh memastikan kemenangan, saya bersedia melepaskan kerusi itu," katanya.
Beliau turut memberitahu tiada masalah dengan perkara berkenaan dan tetap meneruskan perjuangan.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkata, hasil pembinaan 'slipway' dapat menempatkan tiga buah bot dalam satu masa dan memberi manfaat kepada lebih 170 vesel melibatkan 1,300 nelayan.
Menurut beliau, projek yang mula beroperasi pada Mei 2022 dengan kos keseluruhan berjumlah RM741,300 itu pernah tergendala dan ditukar kontraktor bagi mempercepatkan pembinaan.
Pada program sama, beliau menyampaikan bantuan kepada nelayan di bawah Program Peningkatan Pendapatan-Insentif Peralatan Penangkapan Ikan kepada 50 nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tumpat.
Sebanyak RM100,000 disediakan untuk bantuan berkenaan termasuk di PNK Semerak yang disampaikan sebelum ini di Cherang Ruku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!