Kes tembak rumah peniaga: Lima saksi diambil keterangan

Pasukan D10 menjalankan siasatan di hadapan rumah mangsa di Kuala Gula pada Selasa. - Foto Ihsan pembaca (Gambar kecil: Mohd Yusri)
Pasukan D10 menjalankan siasatan di hadapan rumah mangsa di Kuala Gula pada Selasa. - Foto Ihsan pembaca (Gambar kecil: Mohd Yusri)
A
A
A

IPOH - Seramai lima orang saksi diambil keterangan berkaitan kes lelaki bermotosikal melepaskan tembakan di hadapan rumah milik seorang peniaga di Kuala Gula dekat Bagan Serai pada Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan dijalankan dari segala aspek bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

"Kita melihat dari pelbagai faktor sama ada perniagaan, persaingan mahupun sindiket. Siasatan merangkumi pelbagai aspek bagi mengetahui motif sebenar kejadian.

"Seramai lima orang saksi telah dipanggil untuk diambil keterangan sekali gus membantu siasatan kes ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Meniti Karier Dalam PDRM anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yuk Choy di sini pada Rabu.

Mohd Yusri (tengah) bersama pelajar SMJK Yuk Choy selepas merasmikan program Meniti Karier Dalam PDRM di Ipoh pada Rabu.
Mohd Yusri (tengah) bersama pelajar SMJK Yuk Choy selepas merasmikan program Meniti Karier Dalam PDRM di Ipoh pada Rabu.

Menurut beliau, pihaknya sedang mengenal pasti suspek yang terlibat.

"Pihak polis akan menyelesaikan kes ini dan melengkapkan kertas siasatan dalam masa terdekat," katanya.

Sinar Harian melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki melepaskan tembakan dalam kejadian sekitar jam 3 pagi pada Selasa.

Siasatan pasukan Bahagian Forensik (D10) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak turut menemukan lima kelongsong peluru kaliber 9mm dan kesan tembakan pada kereta, motosikal dan pintu rumah mangsa.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!