'Disangka gabus, rupanya mayat mangsa tragedi kepala air'

Anggota pasukan penyelamat mengusung mayat mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih di Sungai Teladas, pada Rabu- Foto Bernama.
Anggota pasukan penyelamat mengusung mayat mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih di Sungai Teladas, pada Rabu- Foto Bernama.
A
A
A

CHUKAI - Rutin pusing kampung awal pagi setiap hari menjadi pengalaman tidak dapat dilupakan buat seorang pemuda di Kampung Dadong, apabila dia terjumpa mayat terapung, semalam.

Muhammad Shahrul Jefri Mohd Azlan, 21, yang lazimnya menunggang motosikal di kawasan sawah padi di kampungnya bagaimanapun memilih untuk bersiar-siar di tepi Sungai Dadong, kira-kira 50 meter dari belakang rumahnya sebelum ternampak satu objek terapung dibawa arus sungai.

"Pada mulanya saya ingatkan objek itu gabus. Tapi rasa tidak sedap hati sebab saya tahu ada mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih masih belum ditemukan, jadi saya turun ke tebing sungai untuk tengok lebih dekat.

"Nak dijadikan cerita objek tersebut tiba-tiba terbalik menampakkan bahagian hadapan tubuh dan mukanya. Pada masa itulah saya tahu itu adalah mayat manusia dan percaya mungkin ada kaitan dengan mangsa yang masih hilang," katanya kepada Bernama pada Khamis.

Tanpa membuang masa, pengusaha pakaian dan kedai makan itu segera menghubungi polis sambil terus memerhatikan mayat tersebut yang dibawa arus sungai.

"Tidak sampai dua minit selepas itu polis pun tiba. Saya bersama orang kampung kemudiannya ikut polis menjejaki mayat tersebut sebelum menemukannya tersangkut di pokok buluh tidak jauh dari tempat awal-awal saya melihatnya," katanya.

Walaupun terkejut dengan pengalaman kali pertamanya, Muhammad Shahrul Jefri sangat bersyukur kerana ditakdirkan untuk memudahkan urusan pencarian mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih yang berlaku pada petang Sabtu itu.

Mayat yang dibawa naik pada 7.45 pagi disahkan sebagai Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, iaitu korban ketujuh daripada 10 mangsa terlibat tragedi kepala air di jeram berkenaan.

Sebelum ini, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Air Putih pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

Operasi SAR mencari 10 mangsa tragedi kepala air itu telah dimulakan pada Ahad dengan lapan mayat telah ditemukan.

Jenazah Karim Abdullah, 39 dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta lima anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya Karim,10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Putri Balqis Izzati selamat dikebumikan dalam satu liang lahad pada 11.52 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir.

Mayat Putri Alleya Maisarah Karim, 16, yang ditemukan petang semalam, masih berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Memasuki hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR), dua lagi mangsa untuk dikesan iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, tunang kepada Putri Balqis Izzati. - Bernama.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: Mayat ketujuh disahkan Putri Balqis Izzati

Tragedi kepala air: Mayat ketujuh ditemukan

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung cari 3 lagi mangsa

Dua lemas, lapan lagi masih hilang dihanyutkan kepala air

Ancaman kepala air, operasi SAR kesan 8 lagi mangsa dihentikan awal

Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air

Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti

Tragedi kepala air: Operasi SAR disambung kesan lapan lagi mangsa

Tragedi kepala air: Hilang sepupu rapat sekelip mata


'Adik sanggup ikat perut nak kahwin hujung tahun ini'

Tragedi kepala air: Jenazah mangsa dibawa ke Felda Lepar Hilir 3

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!