PRN: Satu lawan satu peluang BN-PH tambah kerusi di Kelantan
PASIR MAS - Pertandingan satu lawan satu pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini memberi ruang kepada Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) untuk menambah jumlah bilangan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.
Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada jumlah undi yang dicampur antara kedua-dua parti itu pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
"Selepas bertembung tiga penjuru dalam dua PRU lalu, PRN kali ini kita satu lawan satu dengan Pas. Ini membuka ruang kepada kita (BN-PH) untuk tambah kerusi.
"Ini juga akan memberi saingan kepada pihak lawan," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.
Sebelum itu beliau merasmikan Program Bicara Kenaf di Kampung Slow Machang di sini.
Menurut Wan Abdul Rahim, kerjasama kukuh antara BN-PH ketika ini menambahkan lagi kekuatan untuk melakukan kejutan pada PRN nanti.
Ujarnya, jentera PH akan memberikan sokongan padu kepada calon BN yang bertanding di 31 kerusi di DUN sebagaimana telah disepakati.
Beliau memberitahu, pada masa sama BN turut bersetuju untuk memberikan sokongan kepada calon PH yang bertanding di 14 kerusi DUN pada PRN kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!