Derita jantung terbalik, Adam meninggal dunia
PONTIAN - Pesakit jantung terbalik Mohd Adam Amsyar, 11, yang bergantung dengan mesin oksigen untuk bernafas telah meninggal dunia di Hospital Pontian pada malam Selasa.
Adam yang menderita jantung terbalik atau Mitral Valve Atresia pernah tular dua tahun lalu mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika itu, yang menunaikan impiannya ke Taman Tema Legoland.
Bapanya, Abdul Rahman Rahmad, 49, berkata, Adam dimasukkan ke hospital tiga hari lalu selepas mengalami sesak nafas.
"Ketika menerima rawatan di hospital, Adam kerap sebut hendak jumpa ibunya. Ibunya, sudah meninggal dunia dua tahun lalu akibat penyakit kencing manis dan buah pinggang.
"Adam menghembuskan nafasnya yang terakhir pada kira-kira jam 10.30 malam, Selasa.
"Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Haji Ahmad pada pagi Rabu," katanya.
Abdul Rahman memberitahu, Adam yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu sempat mengenakan baju Melayu berwarna merah dan menjamah rendang ayam pada pagi Hari Raya Aidiladha, minggu lalu.
"Adam seronok dapat pakai baju raya dan makan sedikit rendang ayam yang saya beli. Saya gembira melihat wajah Adam yang tersenyum meskipun bergantung dengan tong oksigen untuk bernafas.
"Adam juga kerap bercerita pengalamannya bertemu TMJ, bermain di Taman Tema Legoland dan melawat Stadium Sultan Ibrahim. Pengalaman indah tidak dapat dilupakan," katanya.
Menurut Abdul Rahman, kini pendidikan anak sulungnya Erin Nadia,13, menjadi keutamaan dan mahu anaknya itu berjaya dalam pelajaran.
"Erin sangat rapat dengan Adam dan sentiasa menjaganya. Saya merancang untuk menghantar Erin ke sekolah tahfiz di Benut.
"Buat masa sekarang, saya mencari rezeki dengan mengambil upah sebagai pemotong rumput di sekitar kampung. Saya turut menghidap asma," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada badan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dan agensi kerajaan termasuk Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang tidak putus-putus memberi bantuan kepada Adam dan keluarganya.
Pada Februari lalu, Adam dilaporkan semakin lemah dan terpaksa bergantung pada mesin oksigen sepenuhnya.
Adam menghidap Mitral Valve Atresia adalah kecacatan jantung kongenital yang amat jarang berlaku, yang mana injap mitral jantung tidak dapat berfungsi dengan betul.
Kisah Adam yang dilaporkan mahu ke Taman Tema Legoland sebelum menghembuskan nafas terakhir pernah disiarkan dua tahun lalu sehingga meruntun hati rakyat Malaysia, sebelum tular di media sosial.
Beberapa individu perseorangan, selebriti, syarikat korporat serta NGO tampil mahu membantu Mohd Adam selepas tersiarnya kisah hasratnya untuk ke Legoland sebelum hayatnya berakhir.
Namun, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menaja sepenuhnya perbelanjaannya, bapa dan kakaknya ke Legoland pada Disember 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!