Tindakan ceroboh tanah, bina gerai haram makan diri
PETALING JAYA - Sikap tidak bertanggungjawab individu menceroboh tanah dengan mengusahakan tanaman dan mendirikan gerai secara haram berhampiran Pangsapuri Enggang di Subang Jaya di sini, akhirnya memakan diri.
Struktur binaan haram di kebun pisang yang terletak di belakang pangsapuri berkenaan dirobohkan penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam satu operasi dijalankan pada Rabu.
Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, tanah terlibat adalah di bawah milikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Enggang.
Menurutnya, notis telah dikeluarkan lebih awal oleh Pejabat dan Tanah Daerah Petaling Jaya dan Jabatan Bangunan (MPSJ) di bawah Akta 133 melibatkan arahan perobohan atau pembukaan struktur binaan terbabit secara serta-merta.
"Lanjutan daripada tindakan pengeluaran notis itu, struktur binaan haram di kebun pisang itu dirobohkan penguat kuasa MPSJ manakala gerai dibina peniaga di hadapan pangsapuri pula dirobohkan sendiri oleh peniaga.
"Selain itu, operasi ini juga dilaksanakan berikutan isu denggi di kawasan ini berpunca daripada pendirian (pembinaan) struktur haram ini," katanya ketika ditemui pemberita di Pangsapuri Enggang di sini pada Rabu.
Beliau menambah, hasil semakan Jabatan Kesihatan MBSJ dan juga bantuan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling Jaya sebelum ini mendapati terdapat beberapa tempat pembiakan nyamuk aedes di dua kawasan berkenaan.
"Kita rasakan ini perlu diatasi segera dan sebab itu juga kita rasa perobohan struktur haram ini adalah tindakan paling pantas dapat kita buat bagi mengatasi isu denggi di kawasan ini agar ia dapat diatasi dengan cepat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!