Bengkel simpan diesel bersubsidi diserbu

Aktiviti seleweng minyak diesel berselindung di sebalik bengkel membaiki kenderaan di Jalan Kuala Sawah, Rantau di sini terbongkar selepas diserbu dalam Ops Tiris, pada Selasa. -Foto: KPDN Negeri Sembilan
Aktiviti seleweng minyak diesel berselindung di sebalik bengkel membaiki kenderaan di Jalan Kuala Sawah, Rantau di sini terbongkar selepas diserbu dalam Ops Tiris, pada Selasa. -Foto: KPDN Negeri Sembilan
A
A
A

SEREMBAN - Aktiviti seleweng minyak diesel berselindung di sebalik bengkel membaiki kenderaan di Jalan Kuala Sawah, Rantau di sini terbongkar selepas diserbu dalam Ops Tiris, pada Selasa.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, serbuan dijalankan lima anggota KPDN kira-kira jam 10.30 malam setelah mendapati pergerakan mencurigakan sebuah lori tangki yang mengisi minyak di beberapa stesen minyak sebelum menuju ke lokasi kejadian.

"Pergerakan lori tangki yang berulang-alik mengisi minyak itu telah membawa kepada penemuan sebuah lagi lori tangki lengkap dengan paip penyambung berada di dalam premis tersebut.

"Seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan penguat kuasa KPDN kerana disyaki telah berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah dan melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya pada Rabu.

Beliau berkata, sejumlah 4,000 liter barang kawalan berjadual yang disyaki diesel bersubsidi bernilai RM8,600 dirampas dalam serbuan itu.

"Turut disita dua lori tangki dan dua unit paip penyambung yang menjadikan anggaran keseluruhan nilai rampasan RM53,800.

"Satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut," katanya.

Muhammad Zahir berkata, KPDN Negeri Sembilan akan terus konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN.

"Ia khususnya bagi membanteras ketirisan dan penyelewengan barang kawalan diesel bagi memastikan aktiviti haram yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan negara ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.

"Maklumat atau aduan berkaitan penyelewengan barang kawalan berjadual boleh dipanjangkan kepada pihak kementerian antaranya melalui Whatsapp 019- 2794317 atau 019-8488000, portal aduan E-Aduan@kpdn.gov.my dan pusat panggilan 1800-886-800," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!