Penganggur dipenjara 7 bulan, denda RM1,000 miliki kereta curi

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang penganggur dihukum penjara tujuh bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret pada Rabu, kerana memiliki kereta curi.

C Kesavan, 39, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas tuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan, jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut tuduhan, Kesavan didakwa memiliki harta curi iaitu Proton Waja bernilai RM7,000 milik seorang pekerja kontrak, yang mana ia dilaporkan hilang di Jalan SS 25/12 di sini pada jam 2.10 petang, 13 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Kesavan merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana telah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

“Saya perlu menanggung isteri dan dua anak yang masih bersekolah, maka saya mohon agar dihukum bermula tarikh tangkap (13 April lalu),” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Farhanah Fuad Mohamad Faiz, mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

“Mahkamah perlu mengambil kira kekerapan kes curi itu dan keselamatan awam,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!