PRN: Undi hari Sabtu tepat, harap perantau diberi pelepasan awal
KOTA BHARU - Setiausaha Pas Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat menyifatkan tarikh pengundian pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri yang diumumkan pada 12 Ogos iaitu hari Sabtu sebagai keputusan tepat kerana memberi ruang kepada golongan perantau untuk pulang melaksanakan tanggungjawab itu.
Beliau berkata, sehubungan dengan itu Pas Kelantan berharap kerajaan persekutuan dapat memberikan pelepasan awal kepada kumpulan perantau untuk pulang ke kampung masing-masing bagi memilih kepemimpinan menerajui kerajaan negeri.
"Mengundi adalah salah satu tanggungjawab yang penting pada negara dan negeri kerana ia melibatkan soal memilih pemimpin.
"Kita harap perantau pulang dan mengundi Pas," katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.
Menurut beliau, menjadi satu kerugian jika peluang memilih pemimpin yang hadir pada lima tahun sekali ini tidak dimanfaatkan oleh rakyat.
Tambah Wan Roslan, diharap rakyat akan keluar beramai-ramai dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!