Usia bukan penghalang, pasangan muda nekad jaga anak yatim

Muhammad Afifie
Muhammad Afifie
A
A
A

KOTA BHARU - Walaupun berdepan kesukaran untuk menjaga 30 kanak-kanak yatim dan miskin, namun ia tidak menjadi halangan kepada pasangan muda suami isteri dari Bachok demi mencorak masa depan anak-anak di sini.

Muhammad Afifie al-Hafiz Nor Azahar dan Asmiza Norin masing-masing berusia 24 tahun percaya usaha mereka membolehkan kanak-kanak di Rumah Anak Yatim Salimah, Bachok mempunyai masa depan yang cerah.

Muhammad Afifie berkata, kenakalan kanak-kanak berkenaan merupakan perkara biasa yang dihadapi namun sikap itu akan berubah jika sentiasa diingatkan.

"Sebab itu, setiap hari mereka mempunyai jadual harian yang padat selain dididik untuk berdikari," katanya.

Muhammad Afifie berkata, kesemua mereka turut diberi ilmu pengajian asas al-Quran dan pendidikan sosial bagi menggalakkan mereka berdikari jika tidak lagi tinggal di rumah anak yatim itu.

Jelas Timbalan Mudir itu, kanak-kanak di rumah anak yatim berkenaan juga ada ibu bapa yang menyerahkan anak mereka di bawah jagaannya kerana tidak mampu menjaganya bersendirian.

Iqmal (tiga dari kanan) berbual bersama kanak-kanak dari Rumah Anak-Anak Yatim Salimah.
Iqmal (tiga dari kanan) berbual bersama kanak-kanak dari Rumah Anak-Anak Yatim Salimah.

"Kesemua kanak-kanak yang ditempatkan di sini ialah golongan asnaf dan miskin.

"Ada bapa yang terpaksa meneruskan kerja untuk mencari rezeki selepas berpisah dengan ibu kanak-kanak itu," katanya.

Jelas beliau, kanak-kanak berkenaan masih memerlukan kasih sayang ahli keluarga terdekat walaupun dihantar ke situ.

"Ahli keluarga dialu-alukan datang melawat dan memberi sokongan moral kerana anak-anak ini tidak boleh bersendirian kerana masih kecil.

"Kedatangan ahli keluarga menunjukkan satu motivasi untuk mereka lebih yakin hidup dalam masyarakat dan hilang rasa takut pada rakan lain," katanya.

Bapa kepada seorang anak berusia setahun tujuh bulan itu berkata, sehingga kini mereka menjaga kanak-kanak berusia antara berusia empat hingga 17 tahun.

Muhammad Afifie turut memaklumkan pusat berkenaan memerlukan kenderaan bagi memudahkan mereka bergerak jika ada keperluan.

"Setakat ini, kami bergerak menggunakan dua kereta milik persendirian menyebabkan ada pihak yang terpaksa menunggu jika melibatkan program tertentu," katanya.

Pasangan berkenaan sebelum itu menerima jemputan dan sumbangan Perdana Kota Bharu sempena sambutan Aidiladha.

Sementara itu, Pengurus Besar Perdana Kota Bharu, Iqmal Muslim berkata, sempena program berkenaan, mereka mengagihkan 50 bekas daging korban kepada golongan memerlukan termasuk tiga rumah anak yatim.

Menurut beliau, dua lagi rumah anak yatim yang menerima sumbangan ialah Madrasah Tahfizul Quran Lilbanat Darul Atiq dan Pusat Jagaan Rohaniah masing-masing di Pasir Puteh.

"Kita turut berharap kesemua mereka mendapat manfaat hasil perkongsian rezeki ini," katanya.

Beliau memberitahu, selain menjadi kenangan antara penerima dan kakitangan Perdana Kota Bharu, majlis berkenaan dapat membentuk nilai perpaduan dan kasih sayang dalam masyarakat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!