Mel Wings sebar dakwah menerusi lagu
SELEPAS mengambil keputusan untuk berhijrah dan memperlahankan langkah dalam bidang seni, bekas vokalis kumpulan Wings, Mel mengakui selesa dengan kehidupannya sekarang.
Fokusnya kini lebih kepada kerja-kerja dakwah yang disifatkannya sebagai satu tanggungjawab dan amanah yang harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
Jika pada awal penghijrahannya dahulu, Mel atau nama sebenarnya Ismail Zainuddin, 57, tekad untuk meninggalkan terus dunia nyanyian, tetapi kini dia lebih terbuka dan mahu menggunakan ruang seni untuk menyebarkan dakwah dengan caranya sendiri.
“Saya pernah melalui pelbagai pengalaman dalam kehidupan sebagai anak seni sebelum ini dan selepas berhijrah dan saya merenung kembali perkara tersebut.
“Dulu selepas berhijrah saya fikir mahu berhenti menyanyi, tetapi bila mendengar pendapat beberapa pihak termasuk ahli agama saya tergerak untuk gunakan platform ini untuk menyebarkan dakwah menerusi lagu.
“Maksudnya di sini adalah lagu-lagu berkonsepkan ketuhanan dan mengajak orang ramai ke arah kebaikan,” ujarnya.
Mel berkata, hasratnya adalah untuk mengajak rakan-rakan artis seangkatan untuk turut mengadakan sebuah persembahan yang menampilkan lagu-lagu yang membawa mesej ketuhanan.
“Saya kalau boleh nak bawa rakan-rakan artis seangkatan balik ke pangkal jalan dan bersama mengingati ALLAH. Itu antara perkara yang ingin sangat saya lakukan dan rasa boleh buat.
“Saya juga pernah suarakan hasrat kepada Joe Wings untuk mengumpulkan rakan-rakan kita buat satu album yang berkonsepkan ketuhanan.
“Bayangkan bagaimana indahnya kita buat persembahan dan sajikan lagu-lagu memuja kebesaran ALLAH kepada peminat dan penonton yang hadir,” katanya.
Penyanyi yang juga bapa kepada vokalis kumpulan Kristal, Ewal itu turut berkongsi berita bakal bersama tiga lagi rakan artis iaitu Ali XPDC, Dr Sam dan Iwan Syahman ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah bersama Angkasa Mukmin Sdn Bhd dan Hayya Travel Tours Sdn Bhd.
“Kalau diikutkan saya sebelum ini saya sudah tiga kali mendapat tawaran untuk mengerjakan umrah di Tanah Suci, tetapi mungkin belum rezeki.
“Saya yakin semua ini adalah ujian dari ALLAH SWT dan tidak pernah gundah gulana kerana perkara itu. Untuk kali ini pun saya serahkan segalanya kepada ALLAH dan ikut saja apa yang disusun penganjur.
“Saya sememangnya memasang niat memohon doa di Tanah Suci kelak untuk berdakwah dengan sempurna dan membawa lebih ramai rakan artis ke arah menzahirkan lagu kerohanian,” katanya mengakhiri perbualan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!