Elak kesesakan, Hospital Selayang guna parkir mekanikal

Dr Sha'ari (lapan dari kanan) hadir merasmikan pembukaan parkir mekanikal di Hospital Selayang.
Dr Sha'ari (lapan dari kanan) hadir merasmikan pembukaan parkir mekanikal di Hospital Selayang.
A
A
A

SELAYANG - Hospital Selayang merupakan hospital pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi sistem parkir mekanikal bagi mengatasi isu tempat letak kenderaan terhad di pusat perubatan itu.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, isu tersebut dihadapi di semua hospital kerajaan seluruh Selangor.

Menurutnya, pengenalan sistem parkir mekanikal dijangka mampu mengatasi masalah parkir dan kesesakan di hospital sekali gus dapat memberi manfaat buat pengunjung.

“Kita sedia maklum fasiliti kita khususnya hospital, ramai pengunjung yang bawa kereta dan sebagainya sudah pasti parkir merupakan salah satu masalah.

“Kita menerima kertas kerja dan bersetuju cadangan parkir mekanikal bagi mengatasi masalah ini. Kita akhirnya melaksanakan satu parkir mekanikal di kawasan ini (Hospital Selayang) bagi memberi manfaat kepada pengguna,” katanya pada majlis perasmian parkir mekanikal bertingkat di Hospital Selayang baru-baru ini.

Beliau berkata, kemudahan itu menyediakan 60 petak parkir meliputi lima menara bagi fasa pertama dan akan ditambah mengikut keperluan.

“Konsep parkir mekanikal ini amat membantu dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor ingin melihat hospital-hospital lain yang ada di Selangor diberikan kemudahan parkir seumpama ini.

“Kalau kita lihat contohnya di Hospital Serdang, satu hari hampir 3,000 kenderaan parkir di sana. Begitu juga HTAR (Hospital Tengku Ampuan Rahimah) di Klang, Sungai Buloh dan sebagainya. Jadi konsep begini dapat memudahkan pengunjung yang datang ke hospital,” katanya.

Sementara itu, pengarah syarikat Tago Carpark & Logistic Sdn Bhd, Mohamad Faiz Mohd Bashir berkata, inisiatif dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini cukup baik dan menerima maklum balas positif daripada pengunjung di Hospital Selayang sejak beroperasi 1 Jun lalu.

Menurut Mohamad Faiz, beliau gembira apabila diberikan peluang untuk menjayakan inisiatif ini dan membantu memudahkan orang ramai mendapat parkir dalam tempoh singkat.

Kadar bayaran parkir mekanikal ini dicaj RM2 sejam dan had maksimum RM14 sehari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!