Eco-Shop Malaysia tawar hadiah RM100,000
[KEMAS KINI] PERUNCIT barangan rumah terkenal, Eco-Shop Malaysia melancarkan kempen terbaharunya ‘Syokkping Gila-Gila’ yang menawarkan hadiah keseluruhannya bernilai RM100,000.
Ketua Pegawai Operasinya, Jessica Ng berkata, kempen yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-20 Eco-Shop itu antara lainnya untuk meraikan 800,000 pelanggan setianya yang mendaftar menerusi aplikasi Eco-Shop.
Menurutnya, peraduan yang bermula pada 1 Jun lalu dan akan berakhir pada 30 September ini terbuka untuk warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas.
“Caranya mudah belanja sebanyak RM40 ke atas di mana-mana cawangan Eco-Shop, imbas kod QR di resit dan isikan butiran, jawab semua soalan menerusi borang Google, muat naik resit dan hantar borang yang sudah diisi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Pelancaran ‘Syokkping Gila-Gila’ di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek di sini pada Rabu.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pemasaran, Soong Sham Mee dan Pengarah Merchandising, Sara Ooi.
Tambahnya lagi, setiap peserta layak memenangi hadiah utama iaitu 40,000 Eco-coins x1; tempat pertama 20,000 Eco-Coins x1; tempat kedua 10,000 Eco-coins x2 dan tempat ketiga 1,000 Eco-coins x20.
“Setiap pemenang boleh menebus hadiah yang ditawarkan antara sebuah kereta, pakej menunaikan umrah untuk dua orang, sebuah komputer riba, seutas jam tangan pintar dan sebuah basikal dan 500 peralatan dapur,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan bisnes Eco-Shop Malaysia sepanjang 20 tahun penubuhannya, Jessica berkata, Eco-Shop kini mempunyai 240 cawangannya di seluruh negara.
“Kami berbangga kerana mempunyai barangan di bawah jenama Eco-Shop antaranya Ganso, Verona, Excue, Delicies, Pawsitive, Kreati, Mama, yang setiap satu dijual RM2.40,” katanya
Tambahnya lagi, Eco-Shop menawarkan lebih 10,000 pilihan produk, merangkumi pelbagai segmen, termasuk keperluan rumah, makanan, minuman, alat tulis, peralatan memasak, mainan dan juga makanan kucing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!