Pejuang masih harap kerjasama dengan PN

Mukhriz - Foto fail Bernama
Mukhriz - Foto fail Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih berharap pimpinan Perikatan Nasional (PN) dapat memberikan pertimbangan sewajarnya untuk parti itu dapat menyertai atau bekerjasama dengan gabungan tersebut pada Plihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, parti itu tidak mahu dilihat sebagai pengacau yang memecah-belahkan undi Melayu dalam PRN itu tetapi penyatuan undi Melayu adalah satu cara terbaik bagi parti itu bersama PN berdepan dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

''Respons pasang surut daripada PN, malah pada mulanya saya sendiri ada berjumpa beberapa pemimpin PN. Memang dari awal kami optimistik dan menerima respons positif jadi...apabila kami mohon (sertai PN) dan ditolak kami rasa kecewa.

"Sekarang timbul pula harapan itu, jadi kami harap PN dapat beri pertimbangan sewajarnya,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Syarahan Umum Pelantikan Profesor bertajuk 'Persetujuan dan Percanggahan Dalam Arena Politik Malaysia' yang disampaikan oleh Prof Dr P. Sivamurugan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pengundian bagi pelaksanaan PRN serentak di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos, dengan hari penamaan calon pada 29 Julai ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!