MB hormati keputusan tiga Exco Selangor tak pertahan kerusi DUN

Amirudin Shari - Foto Bernama
Amirudin Shari - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menghormati keputusan tiga Pengerusi Jawatankuasa Tetap (Exco) Negeri yang tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Amirudin berkata, kerusi DUN tersebut melibatkan Bandar Baru Klang yang dimenangi oleh Datuk Teng Chang Khim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil dan Sederhana serta Dr Siti Mariah Mahmud (Seri Serdang) yang menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Turut tidak mempertahankan kerusi DUN ialah V. Ganabatirau (Kota Kemuning) iaitu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio-Ekonomi, Kebajikan Masyarakat, Peberdayaan Pekerja dan Kerajaan Prihatin.

"Bagi saya ia merupakan kehilangan kepada Selangor terutamanya atas sumbangan dan kerja baik ditunjukkan oleh ketiga-tiga Exco ini. Namun, kita percaya ia juga memberi ruang kepada muka dan idea baharu untuk meneruskan kesinambungan negeri pada penggal akan datang serta menyambung tugas untuk mentadbir dan memakmurkan Selangor,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Media terdahulu melaporkan tiga Exco kerajaan Selangor mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN disandang pada PRN kali ini iaitu Teng, Dr Siti Mariah dan Ganabatirau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan 12 Ogos sebagai tarikh pengundian manakala penamaan calon pada 29 Julai bagi PRN yang akan dijalankan secara serentak di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!