Lelaki maut kereta dirempuh lori ais

Perodua Kancil yang dirempuh lori muatan ais di Kilometer 58.5 Jalan Batu Pahat-Mersing dekat Kluang pada Rabu. - Foto Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang
Perodua Kancil yang dirempuh lori muatan ais di Kilometer 58.5 Jalan Batu Pahat-Mersing dekat Kluang pada Rabu. - Foto Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang
A
A
A

KLUANG - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah lori muatan ais di Kilometer 58.5 Jalan Batu Pahat-Mersing dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan pada jam 3 petang itu melibatkan lori jenis Hino tiga tan dengan kereta Perodua Kancil.

"Hasil siasatan awal mendapati lori berkenaan dari arah Batu Pahat menghala ke Mersing, manakala kereta itu dari arah bertentangan.

"Apabila sampai di tempat kejadian, lori itu cuba mengelak sebuah kereta sebelum hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu di tengah jalan kemudian masuk laluan bertentangan dan melanggar kereta Perodua Kancil.

Sebuah lori muatan ais terbalik selepas melanggar kereta Perodua Kancil di Kilometer 58.5 Jalan Batu Pahat-Mersing dekat Kluang pada Rabu. - Foto bomba Johor
Sebuah lori muatan ais terbalik selepas melanggar kereta Perodua Kancil di Kilometer 58.5 Jalan Batu Pahat-Mersing dekat Kluang pada Rabu. - Foto bomba Johor

"Akibat rempuhan itu, pemandu kereta Perodua Kancil, Mohd Maznizam Mohd Amin, 51, mengalami kecederaan dalaman dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pemandu lori berkenaan, Mohamad Amirul Rameli, 27, mengalami patah kaki kiri dan masih menerima rawatan zon kuning di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penguasa Bomba Kanan II Jusoh Mohd Salleh berkata, lapan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.

"Pemandu kereta tersebut tersepit di tempat duduk pemandu dan pihak bomba mengeluarkannya dengan peralatan khas sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

"Pemandu lori pula diberikan rawatan awal oleh anggota EMRS sebelum dihantar ke hospital. Operasi tamat pada jam 3.34 petang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!