PRN: Status quo dijangka kekal di enam negeri - Penganalisis
GEORGETOWN - Kerajaan Perpaduan iaitu gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dijangka kekal mentadbir di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan selepas pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung pada 12 Ogos.
Penganalisis politik, Prof Dr P Sivamurugan berkata, Perikatan Nasional (PN) pula akan terus mentadbir di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
"Status quo mungkin berlaku di enam negeri yang terlibat dalam PRN itu cuma dengan majoriti undi akan menurun dan nampaknya kerusi-kerusi (Dewan Undangan Negeri) Melayu lebih goyah.
''Sekiranya tidak ada sabotaj dalaman, gabungan parti-parti sedia ada boleh menang, namun setiap parti perlu juga melihat soal pemilihan calon dan isu-isu dalaman parti dalam masa sama tidak memainkan isu 3R iaitu bangsa, agama serta institusi diraja.
"Ia adalah untuk memastikan negara ini dapat bergerak ke depan, setiap gabungan politik perlu mengelak daripada terus memainkan isu-isu sensitif bagi memastikan keharmonian politik itu dipertahan, barulah generasi akan datang melihat dan inilah bentuk acuan yang bersesuaian dengan keadaan semasa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Syarahan Umum Pelantikan Profesor bertajuk: Persetujuan Dan Percanggahan Dalam Arena Politik Malaysia, di Universiti Sains Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Sivamurugan berkata, gabungan Kerajaan Perpaduan antara PH dan BN perlu memberi penerangan kepada pengundi pada masa ini yang berada dalam kekeliruan kerana dua parti tersebut bergabung secara tiba-tiba selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, penjelasan itu penting bagi memaklumkan kenapa kerjasama itu dibentuk dan ia sebenarnya adalah untuk kestabilan politik, kerajaan yang lebih ampuh dan kukuh serta kerajaan yang stabil bagi mentadbir negara.
''Ini kerana mereka (parti politik) yang bergaduh sebelum ini tiba-tiba bergabung, tetapi ini bukan baharu, sejak tahun 1969 lagi, perkara ini sudah berlaku dan pentingnya pimpinan atasan parti menerangkan kepada setiap peringkat tentang kepentingan kerjasama ini dibentuk.
"Ia bagi memastikan kestabilan politik, kerajaan yang lebih kukuh ampuh dan dengan majoriti yang lebih besar dan jika ia tidak dilakukan keadaan akan jadi tidak menentu,'' katanya.
Katanya, jentera PH dan BH juga perlu turun padang untuk terus turun bagi penjelasan bagi mengelak pengundi yang memang menyokong parti mereka sebelum ini, beralih arah dan dalam masa sama menarik sokongan pengundi lain mengundi parti politik tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!