Kepala air akibatkan banjir kilat, 47 mangsa terjejas
JERANTUT - Penduduk di Kampung Sempadan di sini berdepan detik cemas berikutan kejadian kepala air di Sungai Sepan yang naik sekelip mata menyebabkan banjir kilat di kampung itu dan sekitarnya pada awal pagi Rabu.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 2 pagi itu menyebabkan sembilan buah keluarga melibatkan 32 penduduk dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di balai raya kampung tersebut selepas rumah mereka ditenggelami air sedalam kira-kira satu setengah meter.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sempadan, Samsuri Salamin berkata, kejadian berlaku berikutan hujan lebat yang bermula pada jam 9 malam sehingga ke 12.30 tengah malam.
“Kejadian ini dipercayai berpunca daripada kepala air Sungai Sepan terletak kira-kira 80 meter dari kediaman penduduk apabila air dari anak Sungai Relai dan anak Sungai Cheka bertembung dan masuk ke sungai tersebut.
“Saya dan ahli JPKK terus bertindak menyelamatkan mangsa yang masih terkandas di rumah untuk dibawa ke balai raya kampung ini ketika awal kejadian sebelum anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Jerantut datang membantu,” kata beliau.
Ujar beliau, kejadian itu memang mengejutkan kerana berlaku di luar musim tengkujuh seperti kebiasaan sebelum ini yang menyaksikan kampung tersebut kerap dilimpahi air Sungai Sepan dengan purata dua kali setahun.
Tambah Samsuri, penduduk yang terlibat masih berada di PPS tersebut walaupun air sudah surut sepenuhnya kira-kira jam 12 tengah hari.
Sementara itu, turut terjejas Kampung Batu Balai yang turut dilanda banjir kilat.
Pengerusi JPKK kampung itu, A.Rahman Othman memberitahu, kejadian berlaku sekelip mata menyebabkan banyak barang penduduk tidak dapat diselamatkan.
Ujar beliau, sebanyak tiga buah rumah melibatkan 15 penghuni terjejas selepas rumah mereka dinaiki air, namun mereka tidak berpindah ke PPS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!