Pemimpin politik berperanan penting jaga keharmonian rakyat
SHAH ALAM – Pemimpin parti politik perlu memainkan peranan penting dalam menjaga kesinambungan dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, sama ada pemerintah mahupun pembangkang masing-masing perlu mempertahankan kedaulatan negara dan kepentingan rakyat.
Menurutnya, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bukanlah alat untuk mendiskriminasi, tetapi alat untuk memastikan kesamarataan dan perlindungan untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Mereka yang tidak memahami dan tidak peka akan maksud yang tersirat dalam Perkara 153, boleh mengundang tindak balas negatif daripada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai usaha promosi negara berbilang kaum sehingga mengetepikan unsur kemelayuan sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan ada kebenaran.
Jelas Mahathir, isu berkaitan agama juga mesti ditangani dengan hemat dan cermat.
“Agama adalah aspek penting dalam kehidupan rakyat dan harus dipandang dengan penuh hormat dan sensitiviti.
“Pemimpin-pemimpin kerajaan harus sedar dan berhati-hati sebelum membuka mulut mempersoal atau melempar tuduhan yang boleh menyentuh perasaan dan sensitiviti rakyat,” kata Mahathir.
Mengulas lanjut pertemuan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Dr Mahathir, beliau yakin ia dapat memperkukuhkan perjuangan untuk bangsa Melayu dan Islam dengan lebih baik.
"Bukan sahaja keperluan mengangkat isu kepentingan Melayu, malah menyelesaikan isu rakyat terutama kos sara hidup, harga barangan serta pelbagai lagi isu sosio ekonomi.
“Sebagai negara yang didiami oleh rakyat yang waras dan sedia bertolak ansur, kita harus memilih jalan rundingan, bukan persengketaan dan ugutan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!