Tragedi kepala air: Jenazah Putri Alleya Maisarah selamat dikebumi
KUANTAN - Jenazah mangsa kelapan tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman, Terengganu, Putri Alleya Maisarah Karim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3 di sini pada 11.20 malam ini.
Putri Alleya Maisarah, 16, dikebumikan bersebelahan kubur ibu bapa dan lima beradiknya yang turut maut dalam tragedi itu.
Terdahulu, van membawa jenazah Putri Alleya Maisarah tiba di Masjid Ubbudiah Felda Lepar Hilir 3, di sini pada 10.45 malam diiringi kereta peronda polis sebelum disembahyangkan oleh anggota keluarga dan kenalan.
Semalam, jenazah bapa dan ibunya Karim Abdullah, 39, dan Azizah Eiyi, 40, serta lima adik-beradiknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya,10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, selesai dikebumikan pada 11.52 malam.
Mayat Putri Alleya Maisarah ditemukan pada 3 petang semalam manakala mangsa yang masih hilang ialah Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor iaitu tunang Putri Balqis Izzati.
Ahad lepas, media melaporkan 10 individu termasuk sembilan sekeluarga hilang selepas dihanyutkan kepala air semasa berkelah di jeram itu pada petang, Sabtu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!