Cegah kegiatan lindungi penyeludup diesel

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Zairudin Hashim)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Zairudin Hashim)
A
A
A

SHAH ALAM - Pemberian ‘tips’ kepada orang awam atau pekerja stesen minyak bagi melindungi kegiatan menyeludup diesel perlu dibanteras dalam menangani kegiatan itu yang semakin berleluasa dan tidak terkawal.

Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, masalah kurang pendedahan dan pengetahuan am menjadi punca utama orang ramai atau pekerja stesen minyak terlibat secara tidak langsung tanpa mereka sedari.

Menurutnya, kebanyakan daripada mereka tidak mengetahui kesan sekiranya terlibat dan akan terus menganggap ia sebagai pemberian upah sahaja.

“Pencegahan awal perlu dilakukan bagi mengelakkan penglibatan orang awam atau pekerja stesen minyak bertambah menerusi tindakan daripada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta majikan.

“Bermula dengan kursus kepada pekerja stesen minyak sebagai pendedahan awal kepada mereka mengenai tindakan yang wajar diambil sekiranya berdepan situasi berkenaan.

"Pemantauan daripada pihak berkuasa secara meluas perlu dilakukan kerana undang-undang sedia ada sudah cukup namun perlu diperkasakan lagi, katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambah Zairudin, kerjasama daripada orang ramai dan pekerja stesen minyak turut memainkan peranan penting dengan melaporkan segera kegiatan tersebut jika berlaku di depan mata.

"Saya nak ingatkan bahawa budaya menerima rasuah ini tidak menjadikan seseorang kaya malah akan memberi kesan yang mendalam bukan sahaja pada diri sendiri tetapi juga kepada ekonomi negara,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!