27 penumpang maut, bas jatuh gaung
OAXACA - Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh di Mexico selepas sebuah bas terjatuh ke dalam gaung pada Rabu.
Dalam insiden yang berlaku di selatan Oaxaca itu, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti 13 lelaki, 13 wanita dan seorang bayi.
Sejumlah 21 penumpang lagi dilaporkan cedera dan 12 daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.
"Menurut siasatan awal, 27 individu maut manakala 17 mangsa cedera telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut," kata Pendakwa Raya Oaxaca, Bernardo Rodriguez Alamilla.
Siasatan telah dilancarkan pagi mengenal pasti punca kejadian namun laporan awal menunjukkan bas berkenaan berhadapan dengan masalah kegagalan mekanikal.
Ketika kejadian, bas berkenaan dalam perjalanan dari Mexico City ke Santiago de Yosondua sebelum pemandu dipercayai hilang kawalan dan terbabas di bandar Magdalena Penasco sekitar jam 6.30 pagi waktu tempatan.
"Pemandu bas dipercayai hilang kawalan kenderaan tersebut dan ia terjatuh ke dalam gaung sedalam 25 meter," kata pegawai pihak berkuasa tempatan, Jesus Romero.
Nahas jalan raya sering berlaku di Mexico akibat pemanduan pada kelajuan tinggi, keadaan kenderaan yang uzur serta pemandu yang letih.
Kebanyakan rakyat bergantung kepada perkhidmatan bas yang selalunya dikendalikan oleh syarikat pengangkutan kecil yang mempunyai kenderaan uzur.
Mei lepas, sekurang-kurangnya 18 pelancong maut selepas bas yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam gaung di Nayarit.
Pada bulan yang sama, 13 penumpang van terkorban selepas kenderaan itu bertembung dengan sebuah lori di Tamaulipas. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!