Unit K9 JBPM bantu cari kanak-kanak lemas
BATANG KALI - Bantuan dua ekor anjing daripada Unit K9 Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digerakkan pada hari kedua operasi mencari seorang kanak-kanak yang dikhuatiri lemas di Sungai Desa Alam Ria, dekat sini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, dalam kejadian jam 7.16 malam Rabu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dipercayai tergelincir dan jatuh ke dalam sungai.
Beliau berkata, mangsa dipercayai jatuh ketika cuba mengambil seliparnya yang berada di tepi sungai, namun dia tidak bernasib baik tergelincir dan dibawa arus deras.
"Operasi menyelamat dilakukan anggota bomba dengan menggunakan teknik Water Surface Searching di laluan sungai iaitu dengan anggaran satu kilometer (km) dari kawasan kejadian mangsa disyaki jatuh.
"Namun operasi malam tadi (Rabu) itu ditangguhkan jam 12 malam dan operasi hari kedua disambung pada 7 pagi ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohamadul Ehsan berkata, Operasi Search And Rescue (SAR) hari ini dilakukan secara Water Surface Searching dengan menyusur ke hilir sungai sehingga ke Jambatan Batang Kali iaitu 3km dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.
Kata beliau, sesi pencarian itu juga dibantu oleh Unit K9 JBPM, lain-lain agensi seperti polis, Rela serta 11 orang awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!