Keputusan MCA, MIC tidak jejas Kerajaan Perpaduan - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) baru-baru ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang tidak akan menjejaskan perancangan jentera parti komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu tetap memberi sokongan kepada jentera kerajaan.

"Kedua-dua Presiden MCA dan MIC ada menghubungi saya dan menyatakan pada peringkat ini mereka tidak bertanding, tetapi akan tetap memberi sokongan (Kerajaan Perpaduan). Saya fikir itu dalam bidang kuasa BN.

"Saya ucap terima kasih (kerana) membantu dan masih mempertahankan kedudukan Kerajaan Perpaduan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-10 2023 (ISWC 2023) pada Khamis.

Sebelum ini Sinar Harian pada Rabu melaporkan, MCA dan MIC mengumumkan untuk tidak bertanding dalam PRN pada Ogos depan meskipun Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan semua parti komponen diberikan kerusi.

Sementara itu ditanya mengenai pertemuan antara dua bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Tun Dr Mahathir Mohamad bagi merintis kerjasama gerakan Proklamasi Orang Melayu (POM), Anwar menyifatkan gerakan itu tidak akan menggugat sokongan pengundi terhadap PH pada PRN nanti.

Anwar yang juga Perdana Menteri mengegaskan, 'kelompok-kelompok tertentu' akan sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan cara mereka.

“Bukan perkara baharu (perjumpaan), kelompok itu akan tetap bersekongkol untuk pertahankan cara dan harta mereka.

“Kita bertanggungjawab untuk menyelamatkan negara,” katanya.

Terdahulu Dr Mahathir yang juga Pengerusi POM dilapor mengadakan pertemuan selama hampir dua jam bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu pada malam Selasa lalu.

Perjumpaan antara dua tokoh pemimpin berkenaan dikhabarkan bakal memberi semangat baharu dalam usaha memperkasakan serta menguatkan kedudukan orang Melayu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!