Lotus's labur RM50 juta, potong harga lebih 3,500 produk runcit

Potongan harga membabitkan lebih 3500 produk runcit berjenama termasuk jenama Lotus’s. Gambar kecil: Kenneth Chuah
Potongan harga membabitkan lebih 3500 produk runcit berjenama termasuk jenama Lotus’s. Gambar kecil: Kenneth Chuah
A
A
A

LOTUS'S Malaysia melabur RM50 juta untuk membuat potongan harga pada lebih 3,500 produk runcit berjenama termasuk jenama Lotus’s untuk memberi pelanggan lebih nilai ketika membeli-belah.

Presiden Lotus’s Malaysia, Kenneth Chuah berkata, pihaknya memahami bahawa rakyat bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan mencari kestabilan harga serta harga barangan segar dan runcit lebih murah.

"Kami ingin membantu pelanggan dan komuniti meningkatkan simpanan, menguruskan belanjawan lebih baik dan mengurangkan kesan inflasi.

"Ini dengan memberi keyakinan bahawa mereka masih dapat membeli produk kesukaan dengan memperkenalkan harga rendah setiap hari pada diskaun purata hingga 37 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Senarai produk #LotussLebihMurah yang luas merangkumi pelbagai barangan kegemaran membeli-belah isi rumah di Malaysia antaranya beras, pasta, minyak masak, mi segera, sardin, perasa, rempah, sos, kopi dan teh.

Ini termasuk minuman kordial dan berkarbonat, marjerin, mentega, keju, yogurt, susu, aiskrim, makanan sejuk beku, makanan ringan, biskut, coklat, lampin, pencuci baju dan badan.

Selain itu, pencuci pinggan, penjagaan kebersihan wanita, susu formula dan makanan haiwan kesayangan turut ditawarkan dengan harga rendah dan murah.

Beliau menambah, pelanggan juga dapat menikmati harga lebih murah ini ketika mereka berbelanja di kesemua 66 stor Lotus’s, Lotus’s Shop Online dan dengan Lotus’s di platform Lazada, Shopee, foodpanda dan Grab.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pelanggannya, Vivian Yap berkata, lebih eksklusif buat ahli My Lotus's apabila mereka dapat berjimat dengan lebih banyak lagi apabila mereka menggunakan mata ganjaran Lotus’s ketika membuat pembayaran.

"Ahli boleh mengumpulkan mata ganjaran ketika mereka membeli-belah dan menggunakannya untuk membayar barangan runcit, bila-bila masa di stor atau dalam talian. Ini boleh membantu mereka mengurangkan bil runcit mereka," katanya.

Vivian juga menambah bahawa Lotus’s telah memperkenalkan promosi penurunan harga yang lain seperti Segar dan Murah yang menawarkan pilihan produk segar dengan harga yang lebih rendah dan pembelian dengan pembelian (PWP) pada Jun lalu.

"Bagi keluarga yang ingin mencari alternatif lebih murah lagi, Lotus’s menawarkan lebih dari 3,000 produk jenama Lotus’s di stor dan dalam talian malah memperkenalkan lapan lagi produk baru untuk dinikmati pelanggan," katanya.

Pada masa sama, katanya lagi, kesemua 59 medan selera Lotus’s di seluruh negara akan terus menawarkan menu Rahmah dengan harga RM5 untuk pelanggan dan keluarga yang mengunjungi stor terbabit.

"Lotus’s akan memperluaskan inisiatif Rahmah dengan memberikan potongan sebanyak 10 peratus untuk bahan utama kepada pengusaha makanan yang menawarkan Menu Rahmah.

"Lotus’s juga akan terus memberi manfaat kepada komuniti yang kekurangan sumber dan kurang mendapat manfaat melalui pengedaran Bakul Rahmah," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!