Enrique jurulatih baharu PSG
JURULATIH berpengalaman, Luis Enrique dilantik sebagai pengendali baharu Paris Saint-Germain (PSG) sambil diselubungi teka-teki mengenai masa depan pemain sensasi, Kylian Mbappe bersama pasukan itu.
Diikat dengan kontrak dua tahun, bekas jurulatih Barcelona yang dipecat oleh Sepanyol Disember lalu menggantikan Christophe Galtier.
Pengumuman pelantikan Enrique dibuat pada sidang akhbar bersama presiden kelab, Nasser al-Khelaifi di kompleks latihan baharu mereka dekat Poissy pada Rabu.
“Saya gembira dapat menyertai Paris untuk menikmati pengalaman baharu,” ujar Enrique.
Jurulatih berusia 53 tahun itu turut meluahkan keterujaan untuk merasai suasana baharu di Paris bekerjasama dengan warga PSG.
“Sangat teruja untuk bekerjasama orang baharu, tinggal di bandar ini, mempelajari bahasa baharu dan terutama sekali menguruskan PSG,” katanya.
Mengulas status Mbappe bersama kelab itu pada musim baharu ini, beliau dilihat cuba mengelak persoalan tersebut.
Bagaimanapun Pengendali dari Sepanyol itu kemudian memberitahu meletakkan kepercayaan kepada semua pemain yang masih terikat dengan kontrak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!